TUARAN: “Masak apa sedap” tanya Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sambil menunjukkan sayur yang dijual peniaga Nancy Mison ketika melawat pasar Am, di sini semalam.
“Masak dengan ikan masin sedap dengan sayur keladi,” jawab Nancy.
Nancy, 50, berasal dari Kampung Topokan merasa bertuah kerana berpeluang bersua muka dengan pemimpin nombor satu negara apatah lagi singgah di gerai jualannya.
Ibu kepada empat cahaya mata itu mula berniaga di pasar itu sejak tiga tahun lalu dengan menjual sayur-sayuran kampung antaranya bunga betik, tuhau selain labu kuning dan pisang Sabah.
Nancy memberitahu pemberita kemudian bahawa meskipun hanya dapat berbual seketika namun keprihatinan Perdana Menteri dapat dirasai apabila sempat bertanyakan hasil jualan yang diperolehinya.
Bagi peniaga ikan, Siah Sepok, 60, dari Mengkabong, juga tidak menyangka Perdana Menteri yang hanya dilihat di kaca televisyen kini berada di depannya.
Katanya, beliau amat gembira dapat bersua muka dengan Perdana Menteri secara dekat biarpun hanya seketika.
Muhyiddin meluangkan masa hampir sejam di Pekan Tuaran untuk melihat dan bertemu serta beramah mesra dengan peniaga di Pasar Ikan dan Pasar Am di Pekan Tuaran. – Bernama