UNTUK ALBUM… Dato Sri Abdul Karim rahman Hamzah, Datuk Francis Harden Hollis, Dayang Noorazah Awang Sohor dan tetamu khas bergambar kenangan sebaik sahaja berakhir Kejohanan Tinju Terbuka Sarawak dan Remaja Tertutup 2022 di Bandar Simanggang, kelmarin.
SUKAN tinju memiliki masa depan yang cerah di Sarawak, kata Menteri Belia dan Sukan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Menurut beliau perkara itu terbukti apabila Kejohanan Tinju Terbuka Sarawak dan Remaja Tertutup 2022 yang dianjurkan dekat sini bermula dari 15 hingga 21 Jun lepas berjaya menarik penyertaan ramai peserta dari dalam dan luar negara.
“Kejohanan ini bukan sahaja menarik minat penyertaan peninju dari luar negara, Semenanjung Malaysia, daerah dan kelab-kelab tinju dari dalam negeri ini malah turut meraih minat yang begitu tinggi daripada penduduk tempatan di Sri Aman.
“Berdasarkan kepada sambutan ini saya yakin sukan tinju di Sarawak akan dapat berkembang ke tahap lebih baik pada masa akan datang,” katanya yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan.
Karim berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Penutupan Kejohanan Tinju Terbuka Sarawak dan Remaja Tertutup 2022 yang berlangsung di Stadium Tertutup Sri Aman dekat bandar ini malam kelmarin.
Selain itu kejohanan berkenaan menurut beliau juga berperanan sebagai satu persiapan buat atlet Sarawak untuk bersaing dalam acara tinju pada Sukan Malaysia (SUKMA) yang akan bermula pada 16 September ini.
“Kejohanan berkenaan juga secara tidak langsung akan membantu kita untuk mengukur tahap keyakinan dan kemampuan pasukan tinju Sarawak dalam SUKMA itu nanti.
“Kita menyasarkan sekurang-kurang satu pingat emas pada temasya sukan itu. Bagaimanapun harapan saya ialah untuk melihat pasukan tinju Sarawak dapat meraih lebih daripada satu pingat emas,” katanya.
Terdahulu Kejohanan Tinju Terbuka Sarawak dan Remaja Tertutup 2022 berkenaan anjuran Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA) dan Perbadanan Sukan Negeri Sarawak (PBNS).
Sramai 114 peninju dari satu pasukan negara luar, tiga pasukan negeri, tujuh pasukan daerah serta lima kelab berentap merebut kejuaraan dalam Kejohanan Tinju Terbuka Sarawak 2022 dalam dua kategori iaitu Elite dan Remaja.
Pasukan berkenaan terdiri daripada Singapura, Sarawak, Johor, Terengganu, Saratok, Samarahan, Sri Aman, Serian, Limbang, Kapit, Bintulu, MSN, 10 RS B, 10 RS, Black Eagle dan Asajaya.
Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Norazah Awang Sohor dan Presiden SABA, Dato Rahman Lariwoo.
Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan, Nancy Jolhi, Timbalan Residen Sri Aman merangkap Pengerusi Penganjur Bersamanya, Elvis Didit, Pengerusi Pengelola Kejohanan, Dr Robert Lingga Manggie dan Pengerusi Persatuan Pengadil Tinju Malaysia, Mejar (B) Wan Abdul Hamid Wan Mahmud.
Sekitar 2,000 hingga 3,000 penduduk memenuhi Stadium Tertutup Sri Aman untuk menyaksikan lima perlawanan akhir yang berlangsung di situ bermula jam 8 malam kelmarin.
Oleh VALENTINE NGUMBANG