MELAKA: Sebanyak 14 setsen radio amatur diaktifkan Malaysian Amateur Radio Transmitters’ Society (MARTS) bagi mempromosikan sambutan Bulan Kebangsaan menerusi gelombang radio pada 30 Ogos dan 1 September depan.
Setiausaha Kehormatnya Zanirul Akhmal Zanirun berkata, acara tahunan yang dikenali sebagai ‘Call Que Merdeka’ (CQ Merdeka) itu dilaksanakan oleh sebahagian besar pengiat radio amatur di Malaysia, bagi tujuan menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan, bukan sahaja kepada penggiat radio dalam negara malah juga di luar negara.
Beliau berkata setiap negeri akan mengaktifkan sekurang-kurangnya satu stesen radio dengan menggunakan tanda isyarat panggilan khas yang diluluskan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Stesen radio amatur itu akan dikendalikan dengan kerjasama beberapa kelab radio dan komuniti di negeri masing-masing. Ia akan dilakukan secara bergilir-gilir mengikut waktu tertentu dengan sekurang-kurangnya tiga hingga lima operator bertugas pada setiap kali stesen diaktifkan,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Zanirul Akhmal berkata pada masa sama, stesen radio itu juga akan menerima panggilan ucapan kemerdekaan daripada stesen-stesen radio amatur luar negara seperti Indonesia, Brunei, Filipina, Amerika, India, Jepun dan negara-negara Eropah.
Beliau berkata sempena sambutan Bulan Kemerdekaan kali ini, isyarat panggilan diluluskan MCMC untuk ‘CQ Merdeka’ itu adalah 9M66MW bagi stesen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 9M666MB (Selangor), 9M66MN (Negeri Sembilan), 9M66MM (Melaka) 9M66MJ (Johor) dan 9M66MA (Perak).
Katanya selain itu 9M66MC (Pahang), 9M66MD (Kelantan), 9M66MT (Terengganu), 9M66MP (Pulau Pinang), 9M66MK (Kedah) dan 9M66MR (Perlis) sementara isyarat panggilan bagi Sabah ialah 9M66MS dan Sarawak (9M66MQ).
“Pada 2022, stesen CQ Merdeka membuat dan menerima lebih daripada 3,000 panggilan dan ucapan kemerdekaan dari dalam dan luar negara.
“Salah satu stesen iaitu Penang DX Club merekodkan lebih 435 panggilan dari pelbagai lokasi manakala setiap stesen di negeri lain mengendalikan lebih daripada 300 panggilan pada malam sambutan,” katanya.
Sementara itu, Penyelaras Net MARTS Mohd Hussairy Sidek berkata persatuan itu juga akan mengendalikan ‘Net Merdeka’ pada tengah malam 31 Ogos untuk memberi peluang kepada seluruh penggiat radio amatur di Malaysia menyampaikan ucapan sempena tarikh kemerdekaan negara.
“Tanpa mengira keahlian kelab, marilah kita memeriahkan ucapan sempena Bulan Kebangsaan menerusi saluran radio amatur di lokasi masing-masing seperti mana yang dilakukan pada tahun-tahun sebelumnya,” katanya. – Bernama