MIRI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri menahan sebuah vesel nelayan Vietnam Jumaat lalu.
Ia disyaki menceroboh perairan negara dengan nilai tangkapan dianggarkan berjumlah lebih RM1 juta.
Pengarah Zon Maritim Miri, Kapten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, tangkapan menerusi Operasi Khas Raja Laut turut menahan dua kru termasuk tekong warga Vietnam masing-masing berumur 41 dan 42 tahun.
“Mereka ditahan pada kedudukan 141 batu nautika barat laut Tanjung Sirik, Miri sekitar jam 12.00 tengah malam.
“Vesel nelayan asing itu disyaki melakukan kesalahan kerana memasuki Zon Maritim Malaysia tanpa memaklumkan kepada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.
“Dua orang itu ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985,” katanya dalam kenyataan media di sini.
Mohd Khairol berkata Maritim Malaysia akan terus meningkatkan kawalan dan pemantauan bagi membanteras pencerobohan nelayan asing di perairan negara terutamanya di sekitar perairan Sarawak.
“Pihak Maritim Malaysia juga tidak akan berkompromi ke atas mana-mana pihak yang melakukan kesalahan atau aktiviti jenayah di laut,” tegasnya.
Sebarang maklumat, aduan dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Miri di talian 085 – 418204 / Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544 / 082-432016) untuk maklum balas segera.
Oleh Liong Chai Ling