Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • MARA hampiri sasaran sifar kes buli di MRSM, IPMA
  • PENDIDIKAN

MARA hampiri sasaran sifar kes buli di MRSM, IPMA

Utusan Sarawak 10 hours ago
DITEMUI MEDIA…Datuk Rubiah Wang ketika ditemui media selepas majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang SPM 2025 dan penyampaian sumbangan Yayasan Pelajaran MARA kepada pelajar cemerlang MRSM Kuching, hari ini. Foto UKAS

KUCHING: Majlis Amanah Rakyat (MARA) kini berada di landasan tepat untuk merealisasikan sasaran sifar kes buli di semua institusi pendidikannya hasil pelaksanaan pelbagai langkah pencegahan, pemantauan dan penguatkuasaan disiplin yang diperkukuh secara berterusan.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang, berkata MARA tidak pernah berkompromi terhadap sebarang bentuk buli dan akan terus mengambil tindakan tegas bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan pelajar sentiasa menjadi keutamaan.

Menurut beliau, kes buli yang dilaporkan di institusi pendidikan MARA termasuk Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) berada pada tahap terkawal dan hanya melibatkan kes-kes terpencil.

“Walaupun jumlah kes adalah kecil, MARA tidak memandang ringan perkara ini. Kita terus memperhebat pelbagai usaha pencegahan supaya budaya buli dapat dihapuskan sepenuhnya daripada institusi pendidikan MARA,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang SPM 2025 dan penyampaian sumbangan Yayasan Pelajaran MARA kepada pelajar cemerlang MRSM Kuching, di sini, hari ini.

Rubiah berkata, antara langkah yang dilaksanakan ialah penganjuran program kesedaran secara berterusan bagi mendidik pelajar mengenai bahaya, implikasi serta kesan jangka panjang perbuatan buli terhadap mangsa dan pelaku.

Katanya, MARA turut memperkukuh kerjasama dengan ibu bapa sebagai rakan strategik dalam memantau perkembangan, disiplin dan kebajikan pelajar.

“Penglibatan ibu bapa amat penting kerana mereka boleh membantu pihak institusi mengenal pasti lebih awal sebarang isu yang berpotensi menjejaskan kesejahteraan pelajar,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata sistem pengurusan asrama juga diperkasakan menerusi pelantikan warden sepenuh masa yang memberi tumpuan khusus kepada aspek disiplin dan kebajikan penghuni asrama.

Menurutnya, pendekatan tersebut membolehkan peranan guru dan warden dipisahkan bagi memastikan pemantauan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan serta menyeluruh.

“Sebahagian daripada warden yang dilantik terdiri daripada bekas anggota tentera yang mempunyai pengalaman luas dalam aspek disiplin dan pengurusan pelajar berasrama,” katanya.

Tambah beliau, MARA turut mempunyai mekanisme pemantauan tersendiri bagi membolehkan sebarang insiden buli dikenal pasti dan ditangani dengan segera sebelum menjadi lebih serius.

Sehubungan itu, Rubiah yakin pelaksanaan pelbagai inisiatif proaktif yang digerakkan MARA mampu merealisasikan sasaran sifar kes buli di semua MRSM dan Institusi Pendidikan MARA (IPMA) dalam masa terdekat.

Oleh Norman B

Continue Reading

Previous: 22 pelajar MRSM Kuching raih Anugerah Kecemerlangan SPM 2025
Next: PTPTN salur WPP RM60.1 juta kepada 40,099 pelajar baharu diploma di Universiti Awam dan politeknik

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.