SIMANGGANG: Seramai 37 usahawan wanita telah menerima pembiayaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) berjumlah RM1.7 juta setakat Ogos tahun ini.
Ahli Majlis MARA, Siti Ajar Yasin berkata, pembiayaan Ini bukan sahaja satu pelaburan dalam perniagaan tetapi juga satu pelaburan dalam masa depan negara.
“Sejak penubuhan 58 tahun yang lalu, MARA kini telah membantu lebih daripada 60,000 usahawan di seluruh negara melalui pelbagai skim dan program.
“MARA tidak hanya menyediakan bantuan secara langsung, tetapi turut merangka sebuah ekosistem keusahawanan yang lengkap merangkumi pembangunan usahawan, pembangunan perniagaan, serta sokongan berterusan dari segi modal dan kepakaran.
“Ini termasuk usahawan dalam pelbagai sektor industri, daripada pembuatan hingga perkhidmatan, semuanya berkembang pesat berkat sokongan strategik yang disediakan.
“MARA juga telah memainkan peranan yang tidak ternilai dalam memperkasa usahawan di negeri Sarawak, khususnya di kawasan luar bandar seperti Sri Aman dan Betong.
“Melalui skim pembiayaan seperti DANAnita, Mudah Jaya, SPiKE, dan DigitalBiz, MARA terus membuktikan komitmennya untuk membantu usahawan bukan sahaja di bandar tetapi juga di kawasan pedalaman,” katanya.
Beliau berkata demikian berucap merasmikan Program Pemerkasaan Wanita Bahagian Sri Aman 2024 bertempat di Dewan Tertutup Kompleks Sukan Sri Aman.
Siti Ajar berkata bagi negeri Sarawak sendiri, MARA telah memperuntukkan sebanyak RM32 juta untuk membantu seramai 610 usahawan dan sehingga Ogos tahun ini, seramai 661 usahawan telah menerima bantuan pembiayaan dan geran daripada MARA, melibatkan jumlah keseluruhan RM30 juta.
“Ini merupakan satu pencapaian yang besar dan membuktikan bahawa MARA terus relevan dalam usaha memperkasakan ekonomi Bumiputera, terutamanya di luar bandar,” katanya.
Tambahnya, dalam dunia keusahawanan yang semakin kompetitif, peranan penting usahawan wanita tidak boleh dinafikan.
“MARA melalui pelbagai inisiatif seperti skim pembiayaan DANAnita, telah membuktikan komitmen berterusan dalam memperkasakan wanita Bumiputera di negeri Sarawak.
Program ini turut menyaksikan penganjuran Program Jelajah Pendidikan Luar Bandar (JPLB) MARA yang bertujuan memberikan maklumat kepada pelajar luar bandar mengenai peluang pendidikan ke peringkat lebih tinggi. Pelbagai institusi seperti GIATMARA, Institut Kemahiran MARA Kuching, Sarawak Skill dan Centex Sarawak turut terlibat.
Dalam majlis tersebut, Siti Ajar turut menyampaikan replika cek berjumlah RM45,000 kepada dua orang usahawan, serta seorang usahawan lagi menerima Surat Tawaran Kemudahan MARA dalam bentuk geran Pendigitalan (DIGITALBIZ). Turut disampaikan ialah bantuan beg sekolah dan wang tunai kepada 50 orang anak-anak B40 sumbangan Yayasan Pelajaran MARA (YPM).
Turut hadir, Pengarah MARA Negeri Sarawak, A. Razu Abdul Razak dan Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh.
Oleh Adi Safarman