Pagar SK Anji runtuh, peruntukan RTP diusahakan

Facebook
WhatsApp
TINJAUAN...Datuk Sebastian Ting dan Adam Yii meninjau keadaan pagar Sekolah Kebangsaan (SK) Anji yang runtuh susulan kerosakan sebelum ini di Miri, hari ini.

MIRI: Usaha mendapatkan peruntukan di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) akan dilakukan bagi membolehkan pagar Sekolah Kebangsaan (SK) Anji yang runtuh dibaiki dan diganti demi memastikan keselamatan murid serta warga sekolah.

ADUN Pujut merangkap Datuk Bandar Miri, Adam Yii, berkata pihaknya akan berusaha mendapatkan peruntukan berkenaan supaya kerja pembaikan dapat dilaksanakan secepat mungkin.

Beliau berkata, kerja pembaikan bukan sekadar membaiki bahagian pagar yang runtuh, sebaliknya melibatkan penggantian pagar di kawasan terjejas bagi memperbaiki kemudahan perimeter sekolah serta meningkatkan tahap keselamatan.

Terdahulu, Yii bersama ADUN Piasau, Datuk Sebastian Ting, yang juga Timbalan Menteri Pelancongan Sarawak, turun padang meninjau keadaan pagar berkenaan kira-kira 11.00 pagi tadi.

Turut hadir pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Miri, Jumali serta Guru Besar SK Anji, Affendi.

Menurut pihak sekolah, pagar berkenaan telah menunjukkan tanda-tanda kerosakan sebelum runtuh kira-kira 6.50 pagi semalam selepas hujan.

Ting berkata, aspek keselamatan kemudahan sekolah, khususnya struktur yang terletak berhampiran jalan raya dan kawasan yang sering digunakan murid, perlu diberi perhatian serta tindakan segera.

“Kita prihatin terhadap keselamatan murid dan warga sekolah. Pagar yang rosak perlu ditangani segera bagi mengelakkan sebarang risiko atau bahaya kepada mereka,” katanya.

Sementara itu, Affendi merakamkan penghargaan kepada Ting dan Yii kerana turun padang meninjau keadaan pagar berkenaan serta membantu menangani isu itu.

Beliau berharap kerja pembaikan dapat dilaksanakan dalam masa terdekat demi memastikan keselamatan warga sekolah.

Oleh Connie Chieng