KUCHING: Manifesto Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk Pilihan Raya Umum k-15 (PRU-15) ini adalah realistik dan boleh dipenuhi untuk kepentingan rakyat.
Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom berkata manifesto yang dilancarkan malam tadi berpaksikan rakyat.
“Ia berpaksikan rakyat dan tertumpu kepada pembangunan negeri, di mana kita akan menunaikan janji yang dibuat (dalam manifesto),” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Katanya, manifesto untuk PRU-15 ini adalah serupa dengan manifesto semasa pilihan raya negeri Disember lalu terutama dalam memperjuangkan hak Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau menyeru rakyat Sarawak untuk keluar dan mengundi calon GPS untuk terus memperjuangkan hak Sarawak.
“Untuk pilihan raya kali ini, ia bukan mengenai calon sama ada kita suka orang itu atau tidak, tetapi untuk semua rakyat Sarawak dan untuk meneruskan projek dan agenda pembangunan kita,” katanya.
Dr Rundi berkata, bahawa rakyat sepatutnya sudah cukup perit sepanjang tempoh Pakatan Harapan (PH) memerintah selama 22 bulan sebagai Kerajaan Persekutuan, kerana beberapa projek di negeri ini dibatalkan.
Beliau yang juga Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Kemajuan Wilayah, sebelum itu merasmikan ‘Karnival Jualan Tani 2022’ dan Pusat Latihan Kemahiran Pertanian di Semenggok, hari ini.
Oleh Mohd Neenatul Aizal