KUCHING: Manifesto Gabungan Parti Sarawak (GPS) menggariskan 10 sebab utama kenapa gabungan empat parti itu mesti menjadi pilihan rakyat apabila turun mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), 19 November ini.
Sepuluh sebab itu adalah seperti berikut:
1. Kepemimpinan Premier Sarawak yang berpandangan jauh, berintegriti dan cemerlang;
2. Berjaya dan komited kembalikan hak Sarawak dibawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC);
3. Politik stabil dan hala tuju jelas ke arah 2030;
4. Memperkenal dan melaksanakan 120 inisiatif dan dasar utamakan rakyat:
5. Dasar sosial, agama dan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif;
6. Utamakan semua peringkat dan golongan masyarakat
7. Berjaya mempertingkatkan hasil dan pendapatan Sarawak
8. Calon berwibawa dan prihatin rakyat;
9. Tadbir urus kerajaan yang cekap, berintegriti dan profesional;
10. Rekod prestasi cemerlang.
Pengerusi GPS Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata manifesto 62 muka surat itu adalah aku janji dan komitmen GPS demi masa depan Sarawak gemilang.
“Ia mengandungi satu hala tuju, lima tonggak utama, 25 teras ke arah matlamat Sarawak maju 2030,” pada sidang media sejurus selepas melancarkan Manifesto GPS PRU-15 di Pusat Konvensyen Borneo (BCCK) di sini malam ini.
Abang Johari yang juga Premier Sarawak berkata, apa yang diperlukan sekarang ialah kerjasama antara Sarawak dan Kerajaan Persekutuan.
“Pakatan Harapan (PH) ketika mentadbir banyak menjanjikan banyak perkara tetapi tidak ditunaikan. Walaupun dengan projek yang telah diluluskan tiada satu pun dilaksanakan.
“Ini adalah pengajaran bagi rakyat Sarawak. Jangan biarkan pisang berbuah dua kali.
“…Dan sekarang GPS sudah bebas secara politiknya. Tingkatkan ekonomi kita pada masa sama, kita perlu memastikan keperluan rakyat dipenuhi,” katanya.
Laporan oleh AZREEN KERIA, SHAHRUL QAIZAT dan NICKELYSON LAKUN