BINTULU: Mangsa yang terbabit dalam kebakaran 23 pintu Rumah Nura Buling di Sungai Teban, Labang di sini semalam, menerima bantuan daripada pelbagai pihak.
Ini termasuk Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya merangkap Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Sri Tiong King Sing.
Hari ini, Pegawai Khas Tiong, Steven Kong Kai Seng bersama ahli Majlis Tertinggi Parti Demokratik Progresif (PDP), Saging Layang hadir menyampaikan sumbangan keperluan asas kepada keluarga mangsa yang terjejas menerusi Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bintulu.
Menurut Steven, mereka sangat simpati dengan nasib yang menimpa penghuni rumah panjang tersebut dan berharap bantuan yang disalurkan dapat meringankan beban mangsa.
Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Syarikat Tong Seng Huat (Bintulu) Sdn Bhd kerana menyumbangkan barangan asas seperti beras dan gula yang sangat diperlukan pada saat kritikal ini.
“Kami amat berterima kasih kepada semua pihak termasuk polis, bomba, dan pasukan penyelamat lain yang telah bertindak pantas untuk membantu.
“Kerjasama daripada semua pihak penting dalam memastikan bantuan sampai tepat pada masanya,” katanya.
Beliau berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat juga segera turun padang untuk merekod maklumat mangsa dan menghantar bantuan seperti tilam dan selimut pada hari kejadian dan hari seterusnya.
Seramai 350 penghuni hilang tempat berteduh apabila keseluruhan blok 23 pintu rumah panjang tersebut musnah dalam kebakaran yang berlaku sekitar jam 3.32 petang semalam.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden berkenaan.