PETRA JAYA: Lima beranak antara keluarga yang tinggal sehelai sepinggang selepas rumah pusaka yang didiami mereka selama berpuluh tahun musnah dalam insiden kebakaran di Kampung Bintawa Hilir, Petra Jaya, di sini, minggu lepas.
Mengimbau kembali detik hitam itu, Nur Hamizah Zawawi, 29, berkata, dia dan suami hanya sempat menyelamatkan dokumen-dokumen penting dan tiga pasang baju anak-anak sebelum api meranapkan rumah mereka.
”Kami pada ketika itu sedang nyenyak tidur sebelum saya mendengar bunyi letupan yang kuat. Saya tersedar ada kecemasan apabila mendengar jeritan jiran yang mengarahkan kami untuk keluar dari rumah.
”Suami saya sempat mengangkat tong gas selain kami hanya dapat membawa keluar dokumen-dokumen penting selain sepasang pakaian masing-masing untuk tiga orang anak kami,” luahnya ketika ditemui Utusan Sarawak.
Dalam pada itu, meskipun bersyukur dengan bantuan-bantuan yang telah diagihkan, Hamizah berharap mereka dapat dipindahkan ke tempat tinggal yang baharu.
”Rumah tersebut telah didiami selama lebih 60 tahun dan setelah ia musnah dalam kebakaran, anak-anak masih belum faham dan sentiasa merengek ingin pulang ke rumah tersebut,”kongsinya yang merupakan ibu kepada tiga orang anak termasuk sepasang kembar.
Sementara itu, seorang pelajar tingkatan tiga, Aniq Mukhriz Mohamad, 15 berkata insiden tersebut turut memusnahkan semua kelengkapan belajar termasuk buku-buku dan nota ulang kaji.
Kongsinya yang kini menduduki peperiksaan, dia bersyukur kerana kawan-kawan yang lain banyak membantu dalam berkongsi nota sebagai persediaan menghadapi peperiksaan.
”Tragedi ini amat menyedihkan dan sukar digambarkan dengan kata-kata namun ia tidak menghalang saya untuk belajar. Meskipun tempat ini kurang selesa, namun saya masih dapat belajar di dalam khemah ini,” ujarnya.
Pada 5 Januari lepas, Seramai 44 penghuni dari sembilan buah rumah di di Kampung Bintawa Hilir, Petra Jaya, di sini tinggal sehelai sepinggang setelah kediaman mereka musnah dalam kebakaran yang berlaku kira-kira 1.33 pagi.
Insiden tersebut bagaimanapun tidak mengakibatkan kehilangan nyawa.
Oleh Rynna Sha’erra