SIBU: Masyarakat Sibu digesa untuk memanfaatkan kemudahan yang serba baharu di Pustaka Negeri Sarawak Sibu bagi memenuhi keperluan maklumat sambil mempertingkatkan ilmu pengetahuan.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ini disebabkan budaya membaca harus begerak seiring dengan era digital dalam usaha membangunkan rakyat di negeri ini yang kaya ilmu pengetahuan.
“Negeri kita menuju ke arah negeri maju 2030 dan kita memerlukan seseorang yang berpengetahuan tinggi serta pandai memikirkan sesuatu ilmu yang baharu kalau kita hendak meningkatkan kedudukan sosioekonomi.
“Setakat ini masa depan kita sudah jelas untuk mencapai matlamat 2030. Apa yang perlu adalah menggalakkan anak-anak kita untuk mendapat ilmu yang setinggi-tingginya dan boleh bersaing dengan orang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Pustaka Negeri Sarawak Sibu, semalam.
Abang Johari berkata, dengan mempunyai ilmu yang tinggi, masyarakat khasnya rakyat Sarawak dapat membantu membangunkan negeri ini.
Sebagai contoh katanya, kerajaan negeri bakal mempunyai stesen pengisian bersepadu yang mana majlis pecah tanahnya telah diadakan di Darul Hana, Isnin lalu.
“Ini semuanya berkisar kepada ilmu. Oleh itu, saya berharap penduduk di sini akan menggunakan pustaka ini untuk menambah ilmu bagi menjamin masa depan yang lebih baik untuk Sarawak,” ujarnya.
Sehubungan itu, Abang Johari berkata, Kerajaan Sarawak mewujudkan sekolah antarabangsa di negeri ini.
Jelasnya, sekolah ini memberi peluang kepada anak-anak yang berpendapatan rendah tetapi mempunyai keputusan cemerlang melanjut pendidikan bertaraf antarabangsa.
Dalam pada itu, Abang Johari turut melancarkan ‘Buku Pustaka Negeri Sarawak: our page-turning 20 years’ pada majlis tersebut.
Turut hadir Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion, Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi Dr Annuar Rapa’ee, Pengerusi Lembaga Pengurusan Pustaka Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Hamid Bugo, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pustaka, Dr Rashidah Bolhassan serta kenamaan lain.
Oleh Nurzilla Mohamad