Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Mandat B15 perkukuh permintaan minyak sawit domestik sewaktu risiko global meningkat
  • NASIONAL

Mandat B15 perkukuh permintaan minyak sawit domestik sewaktu risiko global meningkat

Utusan Sarawak 4 hours ago
MANDAT B15 perkukuh permintaan minyak sawit domestik sewaktu risiko global meningkat. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Rancangan kerajaan untuk meningkatkan mandat biodiesel kepada B15 dijangka menyediakan permintaan minyak sawit domestik yang lebih stabil, khususnya dalam tempoh permintaan global yang lemah atau ketika ketidaktentuan harga yang meningkat.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Belvinder Sron berkata, langkah berkenaan merupakan satu langkah strategik bagi menangani ketidaktentuan harga bahan api global, susulan kenaikan harga diesel di pam daripada RM3.15 seliter pada 27 Februari kepada RM5.97 seliter pada 17 April.

Katanya, ketidaktentuan harga berkenaan berlaku di tengah-tengah ketegangan yang semakin memuncak di Asia Barat.

“Langkah ini dapat membantu mengurangkan tekanan kos, memperkukuh bekalan tenaga domestik serta menyokong agenda kelestarian negara.

“Walaupun impaknya terhadap harga bahan api mungkin tidak besar, dasar berkenaan berupaya mengurangkan kebergantungan kepada diesel import kira-kira lima peratus,” katanya kepada Bernama.

Pada 14 April, kerajaan bersetuju untuk meningkatkan kadar campuran biodiesel daripada B10 kepada B15 bermula dengan B12 bagi mengekalkan bekalan diesel negara susulan krisis yang berlaku di Asia Barat.

Langkah ini bertujuan untuk mengelakkan kebergantungan melampau kepada bahan api fosil import dan pasaran luar serta melaksanakan penstrukturan semula ekonomi melalui peralihan yang dipercepatkan kepada tenaga boleh baharu.

Belvinder menekankan bahawa kesan dasar tersebut terhadap penawaran dan permintaan minyak sawit akan banyak bergantung kepada kadar dan skala peluasan pelaksanaan mandat itu.

“Pelaksanaan B12 dijangka meningkatkan penggunaan domestik sekitar 140,000 tan manakala peralihan kepada B15 akan memerlukan tambahan sebanyak 300,000 tan.

“Di bawah kedua-dua senario tersebut, jumlah penggunaan biodiesel hanya akan merangkumi empat hingga lima peratus daripada pengeluaran minyak sawit Malaysia pada 2025 yang menunjukkan impak yang agak terhad terhadap bekalan eksport,” katanya.

Menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), pengeluaran biodiesel Malaysia mencatatkan purata sekitar 1.05 juta tan antara 2020 dan 2025 manakala eksport mencatatkan purata sekitar 300,000 tan dalam tempoh yang sama.

Sehubungan itu, penggunaan biodiesel negara dianggarkan mencatat purata sebanyak 700,000 tan setahun di bawah mandat B10, yang telah dilaksanakan sejak 2019.

Dari segi unjuran harga minyak sawit mentah (MSM) yang lebih luas, Belvinder berkata, harga MSM semasa disokong terutamanya oleh harga minyak mentah yang tinggi serta aktiviti pencampuran biodiesel yang lebih kukuh, disokong oleh jurang harga minyak sawit-minyak gas (POGO) yang menggalakkan.

Selain itu, di negara-negara pengeluar utama, bekalan MSM yang tersedia untuk eksport semakin terhad berikutan peningkatan permintaan domestik, katanya.

“Malaysia juga telah meningkatkan mandat pencampurannya. Secara keseluruhan, antara satu hingga 1.5 juta tan bekalan minyak sawit yang boleh dieksport dijangka diserap oleh permintaan biodiesel domestik yang lebih kukuh,” kata Belvinder. – Bernama

Tags: Nasional

Continue Reading

Previous: Ahmad Zahid ucap tahniah kepada johan qari, qariah Tilawah dan Hafazan Kebangsaan
Next: PM Anwar seru kerjasama pertahanan, aeroangkasa lebih kukuh dengan Malaysia

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.