
Manchester City kendalian Pep Guardiola berdepan ujian getir apabila bertandang ke laman Arsenal hujung minggu ini.
LONDON: Manchester City berdepan ujian paling sukar selepas kembali ke landasan kemenangan apabila bertandang ke laman Arsenal hujung minggu ini, manakala Bournemouth menyasarkan kejutan ke atas pendahulu Liga Perdana Inggeris, Liverpool.
Pasukan di tangga ketiga, Nottingham Forest melayan kunjungan Brighton dengan harapan dapat menebus kekalahan 5-0 di Bournemouth minggu lalu, manakala Tottenham berusaha menamatkan prestasi buruk di Brentford.
Man City kendalian Pep Guardiola memenangi empat daripada lima perlawanan terakhir liga untuk kembali berada dalam kelompok empat teratas selepas mengalami kemerosotan prestasi.
Kejayaan mara ke pusingan play-off Liga Juara-Juara Eropah selepas menewaskan Club Brugge, membuktikan City kini kembali ke prestasi sebenar mereka.
Namun City perlu mengharungi deretan perlawanan sukar dalam beberapa minggu akan datang. Selepas kunjungan ke Arsenal, anak buah Guardiola akan berdepan pula Newcastle, Liverpool, Tottenham dan Nottingham Forest.
Di pentas Eropah pula, City bakal bertemu sama ada Real Madrid atau Bayern Munich bagi merebut tempat ke pusingan 16 terakhir.
Arsenal kendalian Mikel Arteta belum tewas dalam 14 aksi liga di laman sendiri sejak kekalahan 2-0 di tangan Aston Villa pada April lalu.
Sementara itu Bournemouth kendalian Andoni Iraola yang belum tewas dalam 11 aksi Liga Perdana Inggeris, mahu menjadikan Liverpool mangsa seterusnya selepas berjaya mengejutkan Arsenal dan Manchester City musim ini.
Justin Kluivert, dengan 11 gol Liga Perdana Inggeris, keluar daripada bayangan bapanya – bintang Belanda, Patrick Kluivert – manakala Dango Outtara meledak hatrik ketika membelasah Forest hujung minggu lalu.
Jadual perlawanan Liga Perdana Inggeris
Esok
Nottingham Forest mln Brighton
Bournemouth mln Liverpool
Everton mln Leicester
Ipswich mln Southampton
Newcastle mln Fulham
Wolves mln Aston Villa
Ahad
Brentford mln Tottenham
Manchester United mln Crystal Palace
Arsenal mln Manchester City
Isnin
Chelsea mln West Ham
– AFP