MARUDI : Timbalan Speakar Dewan Undangan Negeri ( DUN ) Sarawak, Dato Gerawat Gala berkata Malaysia telah berjaya dalam empat peringkat penting iaitu dapat menentukan kestabilan politik negara, seterusnya menjadi asas kepada pembinaan negara yang kukuh lagi mantap.
Kejayaan kedua ialah membuktikan bahawa perpaduan dan keharmonian kaum menjadi satu kebanggaan bagi semua rakyat Malaysia.
Tegas beliau negeri ini dan khususnya daerah Marudi menjadi salah satu bukti yang mencerminkan perpaduan dan keharmonian kaum mampu diwujudkan meskipun rakyat hidup dikelilingi oleh pelbagai etnik dan budaya.
“Ketiga Malaysia berjaya memacu pembangunan dan membawa perubahan yang begitu menakjubkan. Ini memberi inspirasi dan motivasi kepada semua lapisan masyarakat bahawa setiap agenda pembangunan negara mampu direalisasikan, “ ujar Gerawat.
Kejayaan keempat adalah Malaysia telah menunjukkan keselamatan dan keamanan di negara ini dapat dikekalkan.
“Ternyata semangat Malaysia Prihatin yang kita laungkan diterjemah dengan baik apabila semua pihak dapat menerima dan membuktikannya,” tambah Gerawat.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di majlis perasmian Merdeka @ Komuniti Peringkat Daerah Marudi anjuran Jabatan Penerangan Malaysia Daerah Marudi di Dewan Suarah Baram semalam.
Gerawat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Mulu menambah kata, kejayaan demi kejayaan yang dicapai negara telah berjaya membentuk satu imej baharu dalam kalangan rakyat di negara ini.
“Rakyat kita sudah mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan rakyat negara lain yang lebih dahulu mengecapi kemajuan dan pembangunan,” tegasnya.
Beliau yakin berkat kesabaran dan kesungguhan seluruh rakyat dalam mencorakkan kembali pembangunan negara, kita telah mampu mengukir senyuman dengan adanya kejayaan-kejayaan yang lebih bermakna terutama di peringkat antarabangsa.
Dalam pada itu Gerawat menegaskan kemerdekaan negara ke-63 pada tahun ini tidak akan membawa apa-apa makna sekiranya kita tidak bijak dalam melakukan pengisian.
“Tema sambutan tahun ini Malaysia Prihatin, membawa pengerttian bahawa seluruh rakyat Malaysia berganding bahu memerangi pandemik Covid-19 sama ada penjawat awam, sektor swasta, sukarelawan mahupun orang perseorangan.
Jelasnya lagi, perkataan Prihatin pula mewakili keprihatinan kerajaan dalam mengutamakan kesejahteraan dan Kebajikan rakyat melalui inisiatif prihatin yang merangkumi aspek ekonomi, kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat Malaysia.
Turut hadir Pegawai Kanan Jabatan, Mohamad Sahrizan Putit bagi mewakili Pengarah Penerangan Malaysia Negeri Sarawak, Penolong Pegawai Daerah, mewakili Pegawai Daerah Marudi Norlila Ulis, Pegawai Penerangan Daerah Marudi, Zaini Morshidi, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia Daerah Marudi, Maureen Sim Ah Lian, Ketua-Ketua Jabatan, Ketua-Ketua Masyarakat dan Ketua-Ketua Kaum.
Oleh Jiku Juguong