
KUALA LUMPUR: Selepas menempuh permulaan musim yang mencabar, pasangan beregu lelaki negara Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King kembali menemui rentak dengan mara ke separuh akhir, sekali gus menyuntik semula keyakinan mereka untuk meraih pencapaian membanggakan.
Pilihan kelima itu menempah tempat ke kelompok empat terbaik pada kejohanan badminton Malaysia Masters 2026 selepas menewaskan pasangan Amerika Syarikat, Chen Zhi Yi-Presley Smith, 21-15, 21-19 dalam masa 33 minit pada aksi suku akhir di Unifi Arena, Bukit Jalil hari ini.
Kejayaan itu merupakan penampilan pertama mereka di separuh akhir pada kejohanan tahun ini dan yang kedua di Malaysia Masters selepas turut mara ke kelompok empat terbaik pada edisi 2024.
Pasangan ranking ke-16 dunia itu tumpas kepada juara ketika itu dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen, 13-21, 19-21 pada aksi separuh akhir Malaysia Masters 2024.
Ditemui pemberita selepas perlawanan, Wan Arif mengakui pencapaian itu hadir tepat pada masanya selepas mereka bergelut untuk memberi impak pada beberapa kejohanan awal musim ini.
“Kalau ikutkan keputusan tahun ini hanya mara ke pusingan kedua, suku akhir tiada langsung. Sekarang sudah bulan lima, jadi, ini (mara ke separuh akhir) akan suntik kembali keyakinan kami pada perlawanan dan kejohanan akan datang,” katanya.
Wan Arif-Roy King bakal berdepan sama ada pilihan kedua dari Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi, atau pasangan pilihan keenam dari Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard, bagi merebut tempat ke pentas final.
Ditanya lawan pilihan mereka di separuh akhir, Wan Arif mengakui mereka lebih cenderung bertemu pasangan Denmark kerana mempunyai rekod cemerlang dengan memenangi kesemua empat pertemuan sebelum ini, manakala mereka masih memburu kemenangan pertama ke atas gandingan Jepun Hoki-Kobayashi selepas tewas dalam tiga pertemuan terdahulu.
Wan Arif percaya aksi memberangsangkan minggu ini menjadi isyarat bahawa gandingan tersebut semakin kembali menemui rentak terbaik mereka.
Sementara itu, Roy King berkata mereka sebenarnya tidak meletakkan harapan tinggi pada kejohanan itu dan tidak menyangka mampu melangkah sejauh ini.
Kejohanan Super 500 yang berlangsung sehingga 24 Mei itu menawarkan keseluruhan hadiah wang tunai AS$500,000 (RM1.98 juta).- Bernama