Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Malaysia Masters: Akechi sekat impian Letshanaa ke separuh akhir
  • SUKAN

Malaysia Masters: Akechi sekat impian Letshanaa ke separuh akhir

Utusan Sarawak 1 hour ago
PESEORANGAN wanita utama K. Letshanaa kecewa selepas tewas kepada pemain Jepun, Hina Akechi pada suku akhir kejohanan Malaysia Masters 2026 di Unifi Arena Bukit Jalil hari ini. Letshanaa tewas 21-19, 12-21 dan 10-21. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kecemerlangan pemain perseorangan wanita negara K. Letshanaa pada Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2026 berakhir selepas tewas kepada pemain Jepun Hina Akechi pada aksi suku akhir hari ini.

Pada aksi di Unifi Arena, Bukit Jalil di sini, Letshanaa memulakan permainan dengan baik dan dilihat berada di landasan tepat untuk memenangi set pembukaan selepas selesa mendahului 20-11.

Pemain ranking ke-32 dunia itu bagaimanapun hilang tumpuan seketika, sekali gus memberi peluang kepada pemain ranking ke-24 dunia Akechi mengutip lapan mata berturut-turut sebelum Letshanaa akhirnya memenangi set pertama 21-19.

Perubahan momentum itu menjadi faktor penentu apabila Akechi yang berusia 21 tahun meningkatkan corak permainannya untuk memenangi dua set berikutnya 21-12, 21-10 dan mengesahkan tempat ke separuh akhir selepas pertarungan selama 57 minit.

Letshanaa mengakui beliau menerima padah kerana cuba menamatkan set pembukaan terlalu cepat.

“Saya mahu menamatkan perlawanan lebih cepat pada set pembukaan. Sebab itu saya mula hilang tumpuan. Bagaimanapun, pemain Jepun itu juga bermain dengan baik, konsisten dan sentiasa mengubah corak permainannya,” katanya selepas perlawanan itu.

Walaupun kecewa, pemain berusia 22 tahun itu kekal positif dan percaya detik kejayaannya pada kejohanan di peringkat lebih tinggi akan dikecapi dalam masa terdekat.

Penampilan di suku akhir itu bagaimanapun meneruskan prestasi memberangsangkan Letshanaa musim ini selepas mara ke separuh akhir Indonesia Masters 2026 pada Januari lepas, yang juga pencapaian terbaiknya setakat ini pada kejohanan bertaraf Super 500.

Beliau kini akan mengalihkan tumpuan kepada Terbuka Singapura 2026, yang menyaksikannya bakal berdepan cabaran sukar menentang pemain nombor empat dunia dari China Chen Yu Fei pada pusingan pertama.

Kekalahan Letshanaa itu juga bermakna penantian Malaysia untuk mempunyai wakil perseorangan wanita di separuh akhir Malaysia Masters masih berterusan selepas pemain profesional Goh Jin Wei menjadi pemain tempatan terakhir beraksi dalam kelompok empat terbaik sebelum tewas kepada juara dari Thailand Ratchanok Intanon pada edisi 2019 dengan keputusan 16-21, 16-21.

Sementara itu, cabaran besar menanti Akechi esok apabila beliau akan menentang pilihan utama Yu Fei yang menewaskan pemain Thailand Pitchamon Opatniputh 21-19, 21-9.

Malaysia Masters 2026, kejohanan bertaraf Super 500 berlangsung sehingga 24 Mei ini dengan menawarkan hadiah keseluruhan AS$500,000 (RM1.98 juta).- Bernama

Continue Reading

Previous: Malaysia Masters: Wan Arif-Roy King kembali temui rentak, mara ke separuh akhir
Next: JDT pernah ditewaskan – Aidil Sharin

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.