Malaysia kekal pendekatan kawal selia media sosial kanak-kanak, tidak larang sepenuhnya – Fahmi

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

SEREMBAN: Malaysia akan terus mengekalkan pendekatan kawal selia media sosial bagi kanak-kanak berbanding mengenakan larangan menyeluruh, meskipun beberapa negara termasuk Perancis mengambil langkah mengharamkan penggunaan platform itu bagi golongan bawah umur tertentu.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata pendekatan itu disokong oleh dua kod amalan di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA), iaitu Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) yang menetapkan keperluan kepada platform media sosial mengehadkan akses kepada pengguna berusia bawah 16 tahun.

Beliau berkata pelaksanaan kedua-dua kod itu, yang berkuat kuasa sejak 1 Jun lepas, memberi asas mencukupi kepada kerajaan untuk melindungi kanak-kanak daripada risiko dalam talian tanpa perlu melaksanakan larangan sepenuhnya.

“Dengan adanya kod ini, maka mereka yang berusia 15 tahun ke bawah tidak dibenarkan membuka akaun,” katanya kepada pemberita selepas menemani calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat Nor Azman Mohamad berkempen di Gerai Majlis Bandaraya Seremban Stadium Paroi, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas langkah Perancis yang meluluskan rang undang-undang melarang kanak-kanak berusia bawah 15 tahun daripada menggunakan media sosial,  sekali gus menjadi negara pertama dalam Kesatuan Eropah (EU) yang memperkenalkan had umur sedemikian. 

DATUK Seri Fahmi Fadzil berkata Malaysia akan terus mengekalkan pendekatan kawal selia media sosial bagi kanak-kanak berbanding melaksanakan larangan menyeluruh. Foto Bernama

Rang undang-undang itu mendapat sokongan Presiden Perancis Emmanuel Macron dan kini menunggu untuk diwartakan sebagai undang-undang.

Langkah itu menyusuli tindakan Australia yang tahun lepas menjadi negara pertama melaksanakan larangan penggunaan media sosial bagi individu bawah 16 tahun, selain United Kingdom yang turut mengumumkan sekatan serupa yang dijangka dikuatkuasakan tahun depan. 

Mengulas lanjut, Fahmi berkata ketika ini platform media sosial sedang bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk melaksanakan kedua-dua kod berkenaan dan meminta sedikit masa bagi memenuhi semua keperluan yang ditetapkan.

Beliau berkata sekiranya mana-mana platform yang gagal mematuhi had umur tersebut, kerajaan mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya.

“Secara dasar, undang-undang membolehkan kita mengambil tindakan sekiranya platform gagal melaksanakan had umur 16 tahun,” katanya.

Beliau berkata matlamat kerajaan bukan untuk mengharamkan penggunaan media sosial, sebaliknya memastikan platform digital dikawal selia dengan lebih berkesan bagi mengurangkan risiko kemudaratan dalam talian. – Bernama