JAKARTA: Malaysia dan Indonesia semakin hampir untuk membuka semula perdagangan melalui laluan sempadan Tebedu-Entikong, dengan beberapa urusan pentadbiran yang masih berbaki dijangka diselesaikan dalam masa terdekat.
Menteri Perdagangan Indonesia Budi Santoso berkata kedua-dua negara telah mencapai persetujuan mengenai aspek substantif dan peraturan berkaitan isu perdagangan rentas sempadan itu, dengan hanya beberapa urusan pentadbiran yang masih perlu diselesaikan.
“Saya tidak fikir terdapat sebarang isu berkaitan sempadan kerana kita telah bersetuju mengenai aspek substantif dan peraturan. Mungkin terdapat beberapa urusan pentadbiran yang masih perlu kita selesaikan dan diharapkan perkara ini dapat diselesaikan tidak lama lagi,” katanya kepada Bernama.
Beliau ditemui selepas mempengerusikan bersama Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Perdagangan dan Pelaburan Malaysia-Indonesia (JTIC) ke-4 di sini pada Khamis bersama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Johari, yang ditemui bersama Budi, berkata Malaysia sudah bersedia dari segi pelaksanaannya, manakala Indonesia sedang menyelesaikan beberapa perkara yang masih berbaki.
“Saya fikir mereka sedang mengusahakannya kerana Indonesia juga mahu banyak produk kita memasuki negara itu dan mereka juga mahu mengeksport produk ke Malaysia. Jadi, jika sempadan itu cekap, kedua-dua pihak akan mendapat manfaat,” katanya.
Tebedu di Sarawak bersempadan dengan Entikong di Kalimantan Barat, Indonesia, dan kedua-duanya merupakan laluan darat penting bagi perdagangan rentas sempadan antara Malaysia dan Indonesia.

Menurut jawapan Parlimen Malaysia, perdagangan melalui Tebedu-Entikong merosot selepas Indonesia mengenakan sekatan terhadap tujuh kategori barangan yang memasuki Kalimantan melalui laluan itu mulai 15 Mei 2014.
Antara kategori barangan berkenaan ialah makanan dan minuman, pakaian dan tekstil, kasut serta barangan elektronik.
Laporan Bernama pada 14 September tahun lepas menyebut Malaysia dan Indonesia telah bersetuju untuk membuka semula laluan Tebedu-Entikong bagi perdagangan dua hala susulan perbincangan antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia Prabowo Subianto di Jakarta.
Laluan Entikong-Tebedu turut menjadi antara isu utama yang dibincangkan pada Mesyuarat JTIC ke-4, dengan Budi berkata kedua-dua negara komited memastikan pelaksanaan berkesan Perjanjian Perdagangan Rentas Sempadan (BTA), selain meneruskan usaha memudah cara perdagangan rentas sempadan dan memperkukuh hubungan ekonomi melalui laluan berkenaan.
Beliau berkata mesyuarat itu turut membincangkan akses pasaran dan fasilitasi perdagangan, termasuk produk pertanian dan makanan, kerjasama pelaburan yang lebih kukuh serta iklim pelaburan yang kondusif.
Kerjasama dalam bidang seperti e-dagang, pertanian, halal dan piawaian turut dibincangkan.
Sementara itu, Johari berkata Mesyuarat JTIC ke-4 merupakan mesyuarat pertama mekanisme perdagangan dua hala itu dalam tempoh sembilan tahun.
Beliau turut menjemput Budi ke Kuala Lumpur bagi menghadiri Mesyuarat JTIC ke-5 tahun depan. – Bernama





