SIMANGGANG: Orang ramai membanjiri Stadium Mini Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) di sini malam tadi untuk program ‘Pertunjukan Kembara 76 Tahun Sri Aman FM.
Acara dimeriahkan dengan persembahan artis rakaman tempatan seperti Dara Helena, Josephine Jalin, Florence Lo dan Faris Malik di samping turut menampilkan watak drama Iban komedi Tembawai Kanyuk antaranya ialah Mujab (Stonton James), Tr Empeting (Marinie Liben) dan Bunyau (Ken Michael).
Programn itu sudah bermula pagi semalam dan turut diselitkan dengan aktiviti Dj Corner, pemeriksaan kesihatan percuma, derma darah, pameran Jabatan Penerangan dan demonstrasi memadam api oleh pihak bomba.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis berkata stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM) sentiasa menjadi teman setia dan pilihan sepanjang zaman dalam kalangan pendengar radio dan penonton televisyen di negara ini sejak 76 tahun penubuhannya.
Katanya, ini meletakkan RTM sebagai salah sebuah platform penting dalam menyebarkan maklumat sahih dan menyediakan hiburan kepada penduduk.
“Program pertunjukan Kembara 76 Tahun Sri Aman FM ini misalnya dianggap sebagai satu bentuk hiburan menarik yang boleh mendekatkan penyampai radio serta artis-artis jemputan terhadap penduduk berbilang kaum dan agama di sini.
“Semua aktiviti ini disediakan khas untuk pendengar setia RTM. Bagaimanapun adalah penting buat RTM untuk terus berani membawa perubahan agar perkhidmatan yang diberikan akan sentiasa segar dan kekal relevan sepanjang masa,” katanya berucap merasmikan program itu malam tadi.
Beliau berharap Program Pertunjukan Kembara itu dapat dianjurkan di beberapa lokasi di Bahagian Sri Aman pada masa akan datang demi menyediakan perkhidmatan terbaik untuk penduduk.
“Dengan ada program seperti ini maka ia secara tidak langsung dapat merapatkan lagi jalinan kerjasama antara agensi yang terlibat dan membantu penduduk menyelesaikan banyak perkara dalam kehidupan seharian,” katanya.
Hadir sama ialah Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan, Residen Bahagian Sri Aman, Sirai Daha dan wakil Pengarah Penyiaran Sarawak, Dayang Astina.
Oleh VALENTINE NGUMBANG