SIMUNJAN: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Sri Nancy Shukri menyeru penduduk di luar bandar supaya menghasilkan produk makanan daripada hasil pertanian yang mempunyai kelainan.
Produk itu bagaimanapun harus mengekalkan keasliannya agar ia boleh menjadi produk pelancongan baharu, katanya yang juga Ahli Parlimen batang Sadong.
“Kita di Sarawak kaya dengan kepelbagaian budaya yang turut mengeluarkan makanan tradisional. Makanan ini boleh diinovasikan dengan gabungan hasil pertanian bagi membolehkan kita mencipta produk pelancongan baharu,” tegas beliau.
Bagaimanapun menurut beliau, pengusaha perlu menekankan pembungkusan produk yang moden dan menyerlah untuk menarik pelanggan kerana ini memainkan peranan penting dalam pemasaran.
“Dalam perubahan lanskap kebiasaan baharu masa ini, kita perlu mengubah cara pemasaran konvensional kepada digital. Oleh itu, pilihlah untuk memasarkan secara online,” katanya berucap pada Program Taklimat berkaitan Ladang Kontrak, Pemasaran Online, Packaging, Labeling, Urusniaga Sayur, GPL dan Pasar Tani Kg Sungai Apin di sini semalam.
Dalam pada itu, Nancy menggesa penduduk kampung supaya mengenalpasti kawasan di sekitar kampung mereka yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai produk pelancongan baharu.
“Permohonan yang dipanjangkan kepada kami akan diteliti dan dibawa berbincang bersama Ahli Dewan Undangan Negeri Simunjan, Awla Dris.
“Selain itu, saya menyeru Ketua Masyarakat supaya memainkan peranan memohon peruntukan membangunkan infra yang mempunyai daya tarikan unik untuk dikemukakan kepada MOTAC. Inilah cara saya membantu rakyat di Batang Sadong,” tegas beliau.