KUANTAN: Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) Tahun 1445 Hijrah/2024 Masihi bermula hari ini hingga 28 Mei di Auditorium Darul Makmur, Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah di sini.
Program anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pahang itu boleh diikuti secara langsung menerusi saluran TV1, TV Al-Hijrah dan web TV Jakim serta media sosial JAKIM bermula dari 9.00 pagi hingga 4.30 petang bagi hafazan dan disambung pada 9.00 malam untuk tilawah.
Bagi membolehkan lebih ramai mengikuti MTHQK tahun ini, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) turut menyiarkannya secara langsung di saluran radio masing-masing, selain orang ramai boleh hadir ke auditorium dari 9.00 pagi hingga 11.00 malam.
Menampilkan 110 peserta dari seluruh negara, sebanyak 29 peserta terdiri daripada masing-masing 14 qari dan qariah serta seorang johan menunggu qariah menyertai tilawah, manakala 81 peserta bagi hafazan.
Majlis perasmian MTHQK Tahun 1445 Hijrah/2024 Masihi dengan tema “Al-Quran Dihayati, Negara Diberkati” akan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof malam ini.
Penganjuran MTHQK tahun ini yang memasuki kali ke-66 semenjak pertama kali dianjurkan pada 1960, turut meneruskan beberapa penambahbaikan dalam format pertandingan sebelum ini antaranya mewajibkan peserta tilawah al-Quran membaca dua lagu wajib secara berturut-turut dan menyelesaikan bacaan dengan sekurang-kurangnya empat maqamat dalam masa 10 minit.
Peserta hafazan al-Quran pula diwajibkan untuk menghabiskan sekurang-kurangnya 10 baris dalam masa dua minit.
Bagi memberikan lebih cabaran kepada para peserta yang bertanding, MTHQK pada tahun ini juga menyaksikan pembaharuan bagi kategori hafazan al-Quran iaitu soalan akan dikemukakan tanpa disebut atau dinyatakan nombor ayat, nama surah, juzuk dan muka surat seperti kelaziman.
Setiap pemenang bagi kategori tilawah dan hafazan akan membawa pulang wang tunai, wang tambahan untuk menunaikan haji, piala, cenderamata dan sijil penyertaan, manakala setiap peserta juga akan menerima RM1,000 sebagai penghargaan daripada Kerajaan Negeri Pahang.
MTHQK tahun ini merupakan kali ketiga Pahang menjadi tuan rumah selepas kali pertama pada 2011 dan kedua pada 2014. – Bernama