SIBU: Majlis Kraf Sarawak (SCC) terus komited memperkasa usahawan kraftangan negeri ini menerusi pelbagai inisiatif dan program pemasaran bagi memastikan produk tempatan kekal berdaya saing serta mendapat tempat di pasaran.
Pengasas Victoria’s Enterprise, Mujan Nyeigok, berkata, seramai 16 usahawan kraftangan dari seluruh Sarawak menyertai program promosi selama tiga hari yang diadakan di lobi Wisma Sanyan, baru-baru ini.
Menurutnya, program itu menjadi platform penting untuk mengetengahkan pelbagai hasil kraftangan tempatan kepada masyarakat sekali gus membuka peluang kepada usahawan memperluaskan rangkaian pemasaran.
“Kami membawa pelbagai jenis produk hasil kraftangan termasuk perhiasan manik, pakaian tradisional, anyaman bakul, produk seramik serta pelbagai lagi hasil seni tangan yang mencerminkan keunikan budaya Sarawak,” katanya.
Beliau berkata, objektif utama program berkenaan adalah memberi ruang kepada pengusaha kraftangan di bawah SCC mempromosikan produk mereka kepada pasaran tempatan selain meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap nilai seni dan warisan kraftangan negeri.
Katanya, sambutan yang diterima daripada pengunjung amat menggalakkan dan membuktikan produk kraftangan tempatan masih mempunyai permintaan serta potensi untuk terus berkembang.
Mujan turut menegaskan SCC sentiasa komited membantu usahawan kraftangan melalui pelbagai program pembangunan, latihan dan promosi sama ada dianjurkan sendiri atau menerusi kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan Sarawak.
“Usaha berterusan ini penting bagi memastikan produk kraftangan usahawan Sarawak terus melangkah ke hadapan dan kekal berada di pasaran, sekali gus meningkatkan pendapatan serta memperkukuh industri kraftangan negeri,” katanya.
Oleh Tarani Lanting




