Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • RENCANA
  • Maal Hijrah: Menyemai iman, menuai ketenangan
  • RENCANA

Maal Hijrah: Menyemai iman, menuai ketenangan

Utusan Sarawak 3 hours ago
YANG Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir (tengah) menunaikan solat Isyak bersama penduduk setempat ketika berkenan hadir pada Sambutan Maal Hijrah 1448H di Masjid Tuanku Muhriz Bandar Sri Jempol, baru-baru ini. Foto BERNAMA

BULAN Muharam bukan sekadar menandakan permulaan tahun baharu dalam kalendar Hijrah, malah ia membawa makna yang besar kepada umat Islam untuk memperbaiki diri menjadi yang lebih baik dari tahun sebelumnya.

Setiap tahun yang berlalu membawa pelbagai pengalaman, sama ada yang mengembirakan mahupun yang menguji kesabaran. Ia membentuk diri kita menjadi seorang Muslim yang lebih baik.

Nilai-nilai yang terkandung dalam peristiwa hijrah menjadi rujukan untuk kehidupan. Atas dasar iman, para sahabat RA sanggup meninggalkan kampung halaman, harta benda dan rela berpisah dengan orang yang dicintai semata-mata memenuhi perintah Allah SWT.

Peristiwa hijrah juga menjadi pemakin kepada kita untuk melaksanakan sesuatu ibadah dengan hati yang ikhlas semata-mata mengharapkan keredhaan Allah SWT.

Hadis berkenaan ikhlas bertitik tolak daripada peristiwa hijrah. Sebagaimana hadis sahih yang diriwayatkan daripada Saidina Umar ibn al-Khattab RA, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya setiap perbuatan tergantung kepada niatnya, dan (balasan) bagi tiap-tiap orang (tergantung) dengan apa yang diniatkan; barangsiapa niat hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya adalah kepada Allah dan Rasul-Nya.

“Barangsiapa hijrahnya kepada dunia yang ingin digapainya atau kerana seorang perempuan yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya mengikut kepada apa yang dia berhijrah kepadanya.” (riwayat Bukhari)

Hijrah yang paling penting ialah perubahan daripada perkara yang baik kepada yang lebih baik. Setiap manusia mempunyai kelemahan dan kekurangan, justeru inilah masa yang terbaik untuk memperbaharui azam dan memperbaiki diri.

Sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah al-Hasyr ayat 18 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah disediakannya untuk hari esok (akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah amat meliputi pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan.”

Dalam kehidupan moden yang serba pantas, ramai manusia mengejar kejayaan dunia sehingga terlupa tentang keperluan rohani. Malah ada yang bekerja siang dan malam untuk mencari kekayaan, namun masih gelisah seperti ada yang kurang.

Ada yang memiliki pangkat dan kedudukan tinggi tetapi hatinya sentiasa dibelenggu kebimbangan. Keadaan ini menunjukan bahawa kebahgiaan sebenar bukan terletak pada harta atau kemewahan semata-mata.

Islam mengajar bahawa ketenangan hati lahir daripada keimanan yang kukuh kepada Allah SWT. Bilamana seseorang meletakkan pergantungan sepenuhnya kepada Allah SWT, dia akan merasa tenang walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran hidup.

Bertepatan dengan firman Allah SWT: “Ketahuilah dengan mengingati Allah hati menjadi tenang.” (surah ar-Ra’d ayat 28)

Matlamat Hidup Seorang Muslim

Awal muharam juga mengajar kita mengenai pentingnya mempunyai azam dan matlamat hidup yang jelas.

Namun azam yang baik perlu disertai dengan tindakan. Ramai orang memasang azam pada awal tahun, tetapi gagal merealisasikannya kerana kurang istiqamah.

Dalam Islam, amalan yang dilakukan secara berterusan walaupun sedikit lebih disukai oleh Allah SWT berbanding amalan yang banyak tetapi tidak berkekalan.

Rasulluah SAW bersabda: “Amalan yang paling dicintai oleh Allah SWT adalah amalan yang berterusan walaupun jumlahnya sedikit.” (riwayat Bukhari)

Setiap kejayaan memerlukan usaha, kesabaran dan pengorbanan. Tanpa kesungguhan, perubahan yang diimpikan sukar untuk dicapai.

Firman Allah SWT: “Dan bahawa manusia hanya memperoleh apa yang diusahakannya. Dan sesungguhnya usahanya itu kelak akan diperlihatkan (kepadanya pada hari kiamat untuk diberi balasan).” (surah an-Najm ayat 39-40)

Kecintaan para sahabat terhadap Saidina Ali

PARA sahabat mencintai dan memuliakan Saidina Ali kerana padanya terdapat pelbagai keutamaannya.

Para sahabat Rasulullah SAW sedia maklum bahawa Saidina Ali adalah kanak-kanak yang pertama masuk Islam dan beliau amat dicintai oleh Rasulullah SAW sebagaimana cintanya seorang ayah kepada anaknya.

Oleh yang demikian, para sahabat meletakkan Saidina Ali pada kedudukan yang sangat istimewa.

Qais bin Abi Hazim menceritakan bahawa ketika dia sedang berjalan-jalan di sebuah pasar di Madinah, dia melihat orang ramai mengerumuni seseorang yang berada di atas kuda sambil mencela Saidina Ali bin Abi Thalib.

Tiba-tiba datang Saad bin Abi Waqqas, lalu beliau berhenti di tempat gerombolan manusia yang sedang berhimpun itu.

Beliau bertanya, “Ada apa ini?” Mereka menjawab, “Ada orang yang sedang mencela Ali bin Abu Thalib”.

Maka Saad terus maju dan menyusup di celah-celah orang ramai hingga sampai ke tempat orang yang mencela Ali.

Lalu beliau berteriak, “Hai fulan, atas dasar apa engkau mencela Ali? Bukankah dia orang pertama yang masuk Islam? Bukankah dia orang pertama yang solat bersama Rasulullah SAW? Bukankah dia orang yang paling zuhud? Bukankah dia orang yang paling berilmu?. Bukankah dia menantu Rasulullah SAW? Bukankah dia pembawa panji Rasulullah SAW dalam berbagai peperangannya?”

Kemudian di hadapan khalayak ramai tersebut, Saad bin Abi Waqqas menghadap ke kiblat dan mengangkat tangannya seraya berdoa, “Ya Allah, orang ini mencela salah seorang walimu, maka tunjukkanlah kekuasaan-Mu pada mereka sebelum mereka meninggalkan tempat ini.”

Qais bin Abi Hazim selanjutnya berkata, “Demi Allah, sebelum kami meninggalkan tempat itu, tiba-tiba kuda yang ditunggangi orang itu terjelepuk hingga dia terhumban ke atas batu-batu lalu kepalanya pun pecah – dan dia mati di situ juga.”

Pada suatu hari ketika zaman pemerintahan Saidina Ali. sekumpulan orang-orang Ansar telah datang menemui beliau di Kufah.

Antara mereka yang hadir adalah Abu Ayub Al Ansari. Mereka begitu merindui Saidina Ali, begitu juga dengan Saidina Ali yang turut merindui orang-orang Ansar.

Apabila mereka datang berjumpa dengan Saidina Ali, mereka berkata “Assalamualaika wahai wali kami?” Mendengar ucapan salam dari orang-orang Ansar tersebut, Saidina Ali bertanya, “Bagaimana mungkin aku menjadi wali kalian sedangkan kalian berbangsa Arab.”

Mereka menjawab, “Kami mendengar Rasulullah SAWbersabda ketika di Ghadir Khum, “Siapa yang menjadikan aku sebagai walinya maka orang ini (Saidina Ali) adalah walinya.”

Walaupun para sahabat sangat mencintai dan memuliakan Saidina Ali, namun mereka tidak melebih-lebihkan kedudukan Saidina Ali daripada yang sepatutnya.

Mereka tidak mendewa-dewakan Saidina All dan tidak menganggap beliau seorang yang maksum serta terpelihara dari sebarang dosa.

Mereka tetap menganggapnya seperti sahabat-sahabat yang lain yang pasti memiliki kelemahan-kelemahan.

Cumanya di sisi mereka, Saidina Ali memiliki kemuliaan yang lebih berbanding para sahabat yang lain kecuali tiga Khalifah sebelumnya.

Oleh Hanzalah Azman

Tags: RENCANA

Continue Reading

Previous: Western Yolanda tawar menu RM10, jadi tarikan pelanggan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.