PENYERANG muda negara, Luqman Hakim Shamsudin yang kini proses dalam untuk beraksi di pentas Liga Divisyen 1 Belgium mampu mencipta kejutan.
Ia mengambil kira bakat selain kredibiliti bekas anak didik jurulatih berprofil tinggi ‘Lim Teong Kim’ ketika berada dalam Akademi Mokhtar Dahari (AMD) suatu ketika dahulu.
Perkara tersebut diakui Ahmad Nurfaizal Patrick Abdullah yang pernah menjadi penolong jurulatih ketika bersama-sama di akademi berkenaan.
“Memang tepat sekali pilihan dia (Luqman Hakim Shamsudin) untuk beraksi di liga utama Belgium itu.
“Walaupun kita tahu ia satu cabaran yang amat besar…namun saya yakin anak jati kelahiran Kelantan itu mampu menyesuaikan diri di pentas liga negara terbabit serta mencipta nama yang tersendiri,” ujar Nurfaizal ketika mengulas mengenai perkara itu.
Sepanjang beberapa tahun Luqman Hakim dibawah kendalian Lim Teong Kim, pemain terbabit kata Nurfaizal sememangnya berbakat besar.
“Kelebihannya…dia mempunyai karektor penyudah yang cukup hebat selain tahap kecergasan dimilikinya begitu tinggi serta kepantasannya yang sukar ditandingi pemain lain atau rakan sepasukan,” jelas Nurfaizal lagi.
Bakat Luqman Hakim dilihat mula terserlah ketika usianya 15 tahun semasa terlibat dengan beberapa perlawanan persahabatan menerusi siri jelajah Eropah.
“Boleh dikatakan pada setiap perlawanan dilalui ketika itu, kelibat Luqman Hakim sering mencuri tumpuan kebanyakan pengendali pasukan negara-negara yang dikunjungi.
“Mereka begitu berminat untuk menggunakan kudratnya dan mungkin dalam tempoh terdekat ini kita akan dapat melihat kelibat sebenarnya beraksi di Liga Divisyen 1 Belgium,” tambah Nurfaizal lagi.
Dalam pada itu, Nurfaizal yang turut berkesempatan berbual dengan Luqman Hakim beberapa hari lalu turut mengingatkan kepadanya agar sentiasa cekal selain bersemangat apabila beraksi di negara itu nanti.
Katanya, sebagai pemain bola sepak jika mahu berjaya harus lebih fokus, sentiasa cekal dan bersemangat dalam mengharungi hari-harinya di negara berkenaan.
“Saya mengingatkan Luqman Hakim, harus lebih bersedia, sentiasa cekal dan bersemangat kerana inilah peluang baginya untuk mencipta nama dalam kerjaya bola sepak,” jelas Nurfaizal.
Oleh Faizal Bujang