KEUTUSAN Kerajaan Sarawak membenarkan aktiviti sukan berbasikal dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Sarawak bermula 17 Jun lalu melegakan atlet berbasikal SUKMA Sarawak.
Perkara tersebut sememangnya telah lama dinantikan kerana sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada 18 Mac lalu, mereka hanya mampu membuat kayuhan statik di rumah masing-masing.
Ia sekali gus memberi impak penurunan tahap kecergasan diri ekoran hanya menjalani latihan menggunakan ‘roller’ dan tidak mampu menyamai latihan sebenar seperti di jalanan khususnya bagi kayuhan jarak jauh.
Ini diakui salah seorang atlet berbasikal SUKMA Sarawak, Muhd. Luqman Daniel Mohd Roji, 18 yang kini berusaha mengembalikan kecergasan ketahap terbaik seperti sebelumnya.
Menurutnya, mereka mula menjalani latihan intensif sejak Rabu minggu lepas dengan permulaan semua pelumba dikehendaki menjalani latihan fizikal di gimnasium.
“Bermula Khamis minggu lalu kami memulakan latihan kayuhan di jalan raya dengan empat lagi pelumba bersama saya menjalani latihan tersebut.
“Selepas itu, kami berlatih di jalan raya setiap pagi dengan kayuhan sehingga 100 kilometer manakala pada sebelah petangnya pula kami melakukan latihan di gimnasium,” ujarnya.
Jelas Luqman, beberapa hari sebelum PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu, dia bersama beberapa pelumba Sarawak berada di Pulau Pinang untuk menyertai perlumbaan Junior Cycling Malaysia (JCM).
“Sebaik tiba di Pulau Pinang pada 12 Mac kami dimaklumkan JCM dibatalkan namun kami tidak berehat atau makan angin, sebaliknya diarah meneruskan latihan dengan membuat kayuhan dari Georgetown, Pulau Pinang ke Kangar, Perlis dan balik semula ke Georgetown dengan keseluruhan jarak yang dilalui hampir 400 kilometer,” tambah beliau.
Beliau turut menyatakan, dua hari sebelum PKP bermula dia menaiki penerbangan balik semula ke Kuching dan sejak itu langsung tidak melakukan latihan berat sehingga minggu lalu.
Ujarnyalagi, kini mereka memberi tumpuan khusus bagi meningkatkan tahap kecergasan untuk kembali ke prestasi kemuncak sebelum membawa cabaran Sarawak pada Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XX Johor yang akan berlangsung dari 6 hingga 14 Mac 2021.
Oleh Faizal Bujang