
PELAKON terkenal Indonesia, Luna Maya, mendedahkan bahawa dia hampir berputus asa untuk mendirikan rumah tangga sekitar dua tahun lalu.
Menerusi sebuah klip video pendek yang dikongsikan di Instagram oleh pemilik akaun Yashowbiz, Luna yang kini berusia 41 tahun mengakui pernah merasakan bahawa perkahwinan mungkin bukanlah sesuatu yang ditakdirkan untuk dirinya.
“Dua tahun lepas, saya sudah tanam dalam fikiran bahawa mungkin perkahwinan itu tidak akan berlaku buat saya.
“Saya sudah bersedia dengan kemungkinan itu, dan beranggapan bahawa tidak mengapa jika saya tidak berkahwin. Mungkin berkahwin bukan untuk semua orang. Mungkin memiliki pasangan hidup juga bukan untuk semua orang,” ujarnya seperti dipetik menerusi gempak online.
Tambah pelakon drama Nada Cinta itu lagi, dia reda dengan kemungkinan untuk hidup bersendirian tanpa berkahwin.
“Jadi, saya terima takdir itu dengan hati yang terbuka. Jika saya memang ditakdirkan untuk tidak berkahwin, saya ikhlas menerimanya,” jelasnya.
Namun segalanya berubah apabila kehadiran pelakon Maxime Bouttier membawa sinar baharu dalam hidupnya.
“Kemudian, Maxime hadir dalam hidup saya dan memberikan saya cincin. Saya ingin ucapkan terima kasih kepada awak kerana telah memberikan hari yang paling indah dalam hidup saya,” katanya penuh emosi.
Sebagai makluman, Luna Maya akhirnya sah bergelar isteri kepada Maxime Bouttier dengan sekali lafaz dalam satu majlis tertutup yang berlangsung di Ubud, Bali, Indonesia, pada 7 Mei lalu.