BEKENU: Isu berkaitan kemudahan kesihatan di Sarawak akan diberi perhatian, kata Timbalan Menteri Kesihatan yang baharu, Lukanisman Awang Sauni.
Ahli Parlimen Sibuti itu berkata beliau akan mengkaji dasar terlebih dahulu bagi melihat serta menepati keperluan sebenar rakyat terutama golongan yang memerlukan akses kesihatan.
“Ingatkan saya ketika menjalankan tugas agar tidak leka. Saya ingin elakkan kejadian seperti ibu yang kematian bayi dalam perjalanan untuk mendapat perubatan.
“Selain itu, saya akan membina kerjasama bersama menteri bagi kami bekerja secara baik dengan warga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Lukanisman, 40, adalah antara empat muka baharu dilantik dalam kalangan enam timbalan menteri dari Sarawak untuk Kerajaan Perpaduan. Beliau adalah Ahli Parlimen paling muda dari Sarawak.
Lukanisman mengakui beliau tidak mempunyai latar belakang dalam bidang perubatan tetapi berpengalaman berkaitan isu kesihatan ketika berada dalam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) di Parlimen selain menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Kesihatan, Sains dan Inovasi pada penggal lalu.
“Pengalaman ini memberi sedikit gambaran isu berhubung kesihatan,” katanya.
Beliau juga berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi kepercayaan dan meletakkan tugas besarnya sebagai Timbalan Menteri Kesihatan.
Selain itu, beliau turut berterima kasih kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg kerana memberi kepercayaan dalam memikul tugas dan cabaran yang diberikan itu.
“Saya menerima tanggungjawab besar selaku timbalan menteri menjaga kesihatan rakyat.
“Saya adalah timbalan menteri untuk semua masyarakat, saya tidak mewakili mana-mana kaum dan agama dalam menggalas tugas ini.
“Keutamaan saya adalah untuk berkhidmat, melaksanakan tugas dengan teliti, mendengar dan memahami kementerian dengan sepantas mungkin,” katanya.
Kepada pengundi di Sibuti dan masyarakat setempat di situ, beliau memohon izin untuk menjalankan tugas dan tiada yang kurang dari segi perkhidmatan Pusat Khidmat Masyarakat P.218 Sibuti kepada rakyat di Parlimen sibuti.
“Justeru, kepada yang mengirim ucapan tahniah, pihak saya sedang berusaha membalas dan mohon maaf sekitanya terlambat, katanya.
Oleh Adum Liu
Keterangan gambar
TAHNIAH… Lukanisman Awang Sauni semasa Istiadat Pengurniaan Surat Cara Perlantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia Dizahirkan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara baru-baru ini.