Luis Enrique lanjut kontrak sebagai jurulatih PSG hingga 2030

Facebook
WhatsApp
LUIS Enrique. Foto AFP

PARIS, Perancis: Ketua jurulatih Luis Enrique bersetuju melanjutkan kontrak selama tiga tahun bersama juara Eropah dua kali berturut-turut, Paris Saint-Germain (PSG), umum gergasi Ligue 1 itu.

Kontrak terdahulu pengendali dari Sepanyol itu dijadualkan berakhir pada penghujung musim ini, namun beliau menandatangani kontrak baharu yang akan mengikatnya sehingga 2030.

Pengumuman itu dibuat menjelang perlawanan Ligue 1 PSG menentang Monaco di Parc des Princes, dengan pemain Joao Neves, Fabian Ruiz, Willian Pacho, Lucas Beraldo dan Senny Mayulu turut melanjutkan kontrak masing-masing.

“Mereka mewakili masa kini dan masa depan projek kelab kami,” kata Presiden PSG, Nasser al-Khelaifi dalam satu kenyataan.

“Bersama-sama, kami menyasarkan untuk membina kelab ini untuk jangka panjang, kekal setia kepada nilai-nilai kami dan terus mencipta sejarah yang boleh dibanggakan oleh penyokong.”

Luis Enrique, bersama-sama lima pemain yang membantu PSG memenangi Liga Juara-Juara Eropah, menerima sambutan gemuruh daripada penyokong tuan rumah ketika pengumuman itu dibuat.

PSG kemudian tewas 1-2 dalam perlawanan berkenaan, sekali gus masih belum mencatat kemenangan selepas tiga perlawanan dalam musim baharu Ligue 1.

“Ini bukan masa terbaik untuk membincangkan perkara ini, tetapi apa yang boleh saya katakan ialah ini kali pertama dalam kerjaya saya dan saya sudah lama menjadi jurulatih saya kekal lebih daripada tiga tahun bersama kelab yang sama,” kata pengendali berusia 56 tahun itu selepas perlawanan.

“Saya kini lebih bermotivasi berbanding ketika tahun pertama saya di sini, yang agak pelik bagi saya. Saya sangat gembira dan berharap dapat melaksanakan tugas ini dengan baik.”

Bekas pengendali Barcelona dan Sepanyol itu dilantik sebagai jurulatih PSG menjelang musim 2023/24 dengan tanggungjawab membawa kelab itu menjulang Piala Eropah buat kali pertama yang sekian lama dinantikan.

Beliau berjaya mencapai sasaran itu menerusi kemenangan bergaya 5-0 ke atas Inter Milan pada final Liga Juara-Juara 2025, sebelum PSG berjaya mempertahankan kejuaraan tersebut dengan menewaskan Arsenal menerusi penentuan penalti pada Mei lalu.

PSG turut memenangi tiga kejuaraan Ligue 1 dan dua Piala Perancis sejak Luis Enrique menggantikan Christophe Galtier sebagai jurulatih.

Ruiz, juara Piala Dunia bersama Sepanyol, melanjutkan kontraknya sehingga penghujung musim depan dengan pilihan tambahan setahun.

Pemain tengah Portugal, Neves, pertahanan Brazil, Beraldo, pertahanan tengah Ecuador, Pacho, dan pemain muda Mayulu masing-masing menandatangani kontrak sehingga 2031. – AFP