Lori treler musnah dalam kebakaran di Jalan Pesisir Bintulu-Samalaju

Facebook
WhatsApp

BINTULU: Sebuah lori treler musnah dalam kebakaran di Jalan Pesisir Bintulu-Samalaju di sini hari ini, namun pemandunya sempat menyelamatkan diri tanpa mengalami kecederaan.

Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 1.25 tengah hari.

Susulan itu, sepasukan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kidurong dikerahkan ke tempat kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, didapati kebakaran melibatkan bahagian kepala sebuah lori treler.

“Pasukan bomba kemudia menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula bagi mengawal dan memadam kebakaran.

“Kebakaran memusnahkan keseluruhan bahagian kepala lori, manakala pemandu berjaya menyelamatkan diri sebelum api merebak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kebakaran berjaya dikawal pada 1.58 tengah hari sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada 2.06 petang selepas pasukan bomba memastikan keadaan di lokasi selamat.

Pemandu lori berusia 33 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Oleh Carolyne Utih

Kuarters sekolah lama musnah 100 peratus dalam kebakaran

BEKENU: Sebuah kuarters Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Luar Bandar Miri jenis tidak kekal satu tingkat yang sudah lama dan tidak berpenghuni musnah 100 peratus dalam kebakaran di sini hari ini. Bangunan berukuran kira-kira 30 x 20 kaki persegi itu terbakar sepenuhnya ketika pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah tiba di lokasi. Menurut kenyataan BBP Batu Niah, panggilan kejadian itu telah diterima pada 9.31 pagi dan sepasukan anggota bergegas ke lokasi sejauh 63 kilometer.  “Tiba di lokasi pada 10.30 pagi dan beberapa pekerja yang berada di lokasi turut berusaha memadam kebakaran menggunakan sumber air daripada paip berhampiran sementara menunggu ketibaan pasukan bomba. “Hasil pemeriksaan awal mendapati kuarters berkenaan merupakan bangunan lama dan usang serta tidak mempunyai sambungan bekalan elektrik selain tidak berpenghuni. “Pasukan Keluaran Operasi (PKO) BBP Batu Niah menjalankan penilaian awal sebelum melaksanakan operasi pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 300 kaki dengan dua pancutan air daripada pili bomba berhampiran,” kata kenyataan itu.  Katanya, pasukan bomba berjaya mengawal dan memadam kebakaran sepenuhnya sebelum operasi diteruskan dengan kerja-kerja pemeriksaan bagi memastikan tiada lagi bahagian yang berpotensi menyebabkan kebakaran semula. “Pasukan turut memasang sawar keselamatan di lokasi kejadian sebelum operasi ditamatkan dan keadaan disahkan selamat,” katanya lagi.  Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. Turut berada di lokasi ialah dua anggota dari Balai Polis Bekenu bagi membantu kawalan dan keselamatan di tempat kejadian.