

MIRI: Sebuah lori kontena kosong mengalami kebakaran pada bahagian belakang tayar dalam kejadian di Jalan Kampung Luak Bakam, di sini, hari ini.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, panggilan kecemasan diterima pada 11.24 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri dikerahkan ke lokasi.
Menurutnya, pasukan bomba tiba di lokasi kira-kira sembilan minit kemudian dan mendapati kebakaran melibatkan bahagian belakang tayar lori kontena kosong yang terbakar kira-kira 70 peratus.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran hos sepanjang 200 kaki bersama satu nozel sehingga api berjaya dikawal pada 11.42 pagi.
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 12.30 tengah hari selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi punca kebakaran di lokasi.
Oleh Liong Chai Ling