ROBAN: Lorenna Lulong Christopher dinobatkan sebagai Ratu Festival Makanan Roban (RFF) 2024 dalam Pertandingan Ratu Etnik RFF 2024 di Pentas Utama RFF dekat sini, malam tadi.
Lorenna yang menggayakan pakaian orang Bidayuh itu berjaya membawa pulang wang tunai sejumlah RM800, mahkota, selempang, tiara dan sejambak bunga.
Lucia Ubok Gumi yang menggayakan pakaian Orang Ulu pula naib johan untuk membawa pulang hadiah wang tunai RM600 dan sejambak bunga.
Enyaa Mbai yang menggayakan pakaian Orang Ulu (Kenyah) muncul tempat ketiga untuk hadiah RM400 dan sejambak bunga.
Tujuh peserta yang lain telah menerima hadiah saguhati berupa hadiah wang tunai RM100 dan sejambak bunga.
Kesemua hadiah pemenang telah disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir dan isteri, Datin Meryani Yasin.
Dalam pada itu, Pejabat KEMAS Saratok mengucapkan tahniah kepada semua peserta yang telah menyertai pertandingan tersebut.
“Bagi pihak KEMAS Saratok selaku penyelaras pertandingan mengucapkan ribuan terima kasih di atas penyertaan kalian semua.
“Tidak lupa juga ucapan terima kasih kepada pihak Jawatankuasa Induk RFF 2024 yang telah memberi kepercayaan kepada KEMAS Saratok untuk mengendalikan pertandingan ini,” katanya.
Oleh ADI SAFARMAN