KUALA LUMPUR: Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (PIKOM) yakin tumpuan kepada digitalisasi dan automasi akan membolehkan Malaysia mencatatkan prestasi baik semasa fasa pemulihan pasca-Covid-19.
Justeru, persatuan itu memuji penekanan yang diberikan kerajaan terhadap ekonomi digital di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang dibentangkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.
Pengerusi PIKOM, Danny Lee berkata, peruntukan RM700 juta untuk memacu digitalisasi dan inovasi perniagaan serta Geran Automasi Pintar bernilai RM100 juta akan memberi kesan positif yang diperlukan untuk melonjakkan Malaysia ke dalam ekonomi digital.
“Selain itu, untuk mengalakkan perusahaan mikro serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerima guna perkhidmatan digital, kerajaan bersama dengan sektor swasta akan membiayai usaha ini menerusi Geran Padanan bernilai RM140 juta.
“Kepentingan ekonomi digital adalah paling utama dalam usaha pemulihan ekonomi. Ini akan memberi banyak manfaat kepada industri teknologi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata sektor ini juga akan terus didorong melalui kempen ‘Shop Malaysia Online’.
Semasa membentangkan PENJANA yang disiarkan secara langsung menerusi saluran radio dan televisyen, Muhyiddin berkata menerusi kempen bagi menggalakkan rakyat berbelanja secara dalam talian itu, kod promosi dan pelbagai baucar diskaun akan diberi melalui platform e-dagang.
Sebagai permulaan, kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM70 juta yang akan dipadankan dengan jumlah yang sama oleh platform e-dagang, menurut perdana menteri.
Lee berkata, perusahaan mikro dan PKS di Malaysia akan berkedudukan baik untuk revolusi digital.
Beliau berkata, pelaburan teroka dan risiko keperluan modal syarikat pemula niaga dan yang sedang di peringkat pertumbuhan juga mendapat perhatian apabila kerajaan akan menubuhkan Dana Penjana Nasional.
Dana itu bernilai RM1.2 bilion dengan peruntukan RM600 juta daripada kerajaan dan dipadankan dengan RM600 juta daripada pelabur domestik dan antarabangsa.
“Selain itu, PIKOM, melalui cabang pemikirnya, Future Digital, telah dilibatkan untuk penubuhan sandbox teknologi. Pengumuman mengenai perkara itu memang tepat pada masanya.
“Paksi ke arah strategi digital juga terbukti dengan penyampaian perkhidmatan kerajaan, kempen ‘Buy Malaysia’ di platform digital dan peruntukan padanan RM50 untuk e-wallet. Ini akan memberikan kesan pemangkin kepada ekonomi digital,” katanya. – Bernama