SIBU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Lima berjaya merampas kira-kira 160 batang kayu balak pelbagai jenis dan saiz yang dipercayai haram di perairan Pulau Dudong, Sungai Batang Rajang, semalam.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, ketika menjalankan tugas Op Pensura sekitar jam 9 pagi, sepasukan anggota PPM Wilayah Lima Sibu menggunakan bot ronda menemui satu longgokan kayu balak yang telah diikat menjadi rakit.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati lebih kurang 160 batang kayu balak pelbagai jenis dan saiz tidak mempunyai tanda tukul Jabatan Hutan Sarawak dan dipercayai diperolehi secara haram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, nilai keseluruhan rampasan lebih kurang RM408,000.
“Kesemua barang rampasan diserah kepada pegawai Perhutanan Bahagian Sibu untuk tindakan lanjut,” katanya.
Oleh AKUM GIMAN