

SIBU: Projek menaiktaraf Loji Rawatan Air Salim yang dilaksanakan oleh Sarawak Water kini mencatat kemajuan 68.24 peratus, sekali gus mendahului jadual asal sebanyak 4.39 peratus.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, projek bernilai RM291.4 juta itu berada di landasan tepat untuk disiapkan sebahagiannya menjelang Disember 2026.
Menurutnya, projek yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Sarawak itu merangkumi pembinaan loji rawatan air baharu berkapasiti 150 juta liter sehari (JLS), kemudahan pengambilan air mentah baharu, pemasangan paip serta kerja menaiktaraf komponen sedia ada.
“Projek ini merupakan intervensi penting bagi memperkukuh kapasiti pengeluaran air, meningkatkan sistem bekalan air serta memenuhi permintaan air terawat yang semakin meningkat di Sibu dan kawasan sekitarnya,” katanya semasa lawatan kerja ke tapak projek, hari ini.
Beliau berkata, penyiapan sebahagian projek menjelang Disember ini melibatkan kemudahan pengambilan air mentah, pemasangan paip serta pembinaan loji rawatan air baharu, manakala keseluruhan projek dijangka siap sepenuhnya menjelang pertengahan 2027.
Apabila siap kelak, loji berkenaan akan mempunyai kapasiti keseluruhan sebanyak 300 JLS dan memberi manfaat kepada kira-kira 350,000 penduduk di Sibu serta kawasan sekitar termasuk Kanowit, Selangau, Maradong dan Rassau sehingga tahun 2036.
Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Water berkata, projek berkenaan bukan sekadar penaiktarafan infrastruktur, malah mencerminkan komitmen berterusan pihaknya dalam memperkukuh sistem bekalan air, meningkatkan kebolehpercayaan perkhidmatan serta menyokong pembangunan masa hadapan Sibu dan kawasan sekitarnya.
Oleh Tarani Lanting