
KANOWIT: Loji rawatan air di Nibong Tada yang menelan kos sebanyak RM12 juta siap lebih awal daripada jadual dan dijangka meningkatkan bekalan air terawat kepada komuniti sekitar sebaik sahaja beroperasi sepenuhnya.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi, berkata projek yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkukuh infrastruktur bekalan air luar bandar.
Beliau berkata, loji berkenaan turut disokong oleh sebuah tangki aras tinggi berkapasiti 3.5 juta liter serta sebuah lagi tangki berkapasiti 1.0 juta liter, dengan sumber air mentah diambil dari Sungai Rajang.
“Setakat ini, operasi berjalan lancar dengan bekalan air mentah mencukupi untuk kawasan Nibong Tada,” katanya kepada media selepas melakukan lawatan tapak ke sistem rawatan air Nibong Tada di sini, hari ini.
Menurut beliau, projek yang bermula pada November tahun lalu itu menunjukkan prestasi memberangsangkan dan berjaya disiapkan dalam tempoh kurang setahun.
“Saya merakamkan penghargaan kepada Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) serta mengucapkan tahniah kepada kontraktor atas prestasi baik sehingga projek ini dapat disiapkan lebih awal daripada jadual,” katanya.
Tambah beliau, kemudahan itu akan memastikan penduduk di Nibong Tada dan kawasan sekitarnya menerima bekalan air bersih yang lebih stabil melalui sistem rawatan air tersebut.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah Anyi Jana, Pengarah JBALB Ahmad Salihin Che Said, Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Datu Jafri Lias, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Water Malseni Jamal, Residen Sibu Abang Mohamad Porkan Abang Budiman serta Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Joshua Ting.
Oleh Tarani Lanting