LAWAS: Pembinaan loji rawatan air ketiga di Loji Rawatan Air Wilayah Trusan dijangka memperkukuh bekalan air bersih kepada penduduk di daerah Lawas apabila siap sepenuhnya pada September 2028.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata loji rawatan air baharu itu mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 50 juta liter sehari (MLD) dan dibina dengan kos RM236.38 juta.
Menurut beliau, projek yang kini sedang dalam pembinaan itu dijadualkan siap pada 2 September 2028.

Pada masa sama, Awang Tengah mengarahkan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) menjalankan kajian terperinci bagi mengenal pasti lokasi baharu yang sesuai untuk rumah pam dan pengambilan air (water intake) bagi memastikan masalah yang berlaku ketika ini tidak berulang.
Beliau berkata, kajian itu perlu mengambil kira perubahan keadaan alam sekitar serta keperluan jangka panjang kerana lokasi sumber air yang dipilih mestilah mampu menyokong operasi loji secara berterusan.

“Loji rawatan air ketiga bagi sistem bekalan air wilayah Trusan ini mempunyai kapasiti 50 MLD. Walaupun kajian telah dibuat bagi lokasi pengambilan air untuk menyokong loji ini, lokasi yang benar-benar sesuai perlu dikenal pasti supaya masalah sama tidak berulang.
“Kita tidak dapat melawan perubahan alam. Sebab itu kajian yang teliti dan berorientasikan jangka panjang amat penting,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Loji Rawatan Air Wilayah Trusan, hari ini.
Selain itu, beliau turut mengarahkan JBALB mempercepatkan kerja-kerja penggantian paip air lama di beberapa kawasan di Lawas bagi meningkatkan kecekapan sistem bekalan air.
Menurutnya, bekalan air bersih merupakan keperluan asas rakyat dan JBALB perlu sentiasa proaktif dalam menyalurkan maklumat berkaitan sebarang gangguan bekalan air kepada pengguna.
Beliau turut menegaskan supaya lori tangki air JBALB sentiasa berada dalam keadaan bersedia untuk mengagihkan bekalan air ke kawasan terjejas, dengan keutamaan diberikan kepada hospital, sekolah dan premis kritikal.
Oleh Adeng Edrus




