NOTTINGHAM, England: Liverpool meraih keputusan seri 1-1 di Nottingham Forest ketika gol penyamaan Diogo Jota menyelamatkan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu daripada kekalahan menentang pencabar kejuaraan tidak disangka awal pagi tadi.
Pasukan kendalian Arne Slot dikejutkan dengan gol pembukaan seawal minit kelapan daripada Chris Wood buat Forest, namun Jota tampil dari bangku simpanan untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-66 dalam perlawanan menarik itu.
Liverpool kekal enam mata di depan Forest, yang melonjak ke tangga kedua di depan Arsenal sebelum The Gunners bertemu Tottenham awal pagi esok.
Selepas dilihat akan memenangi kejuaraan EPL pertama mereka sejak tahun 2020 susulan permulaan memberangsangkan musim ini, Liverpool mengalami kemerosotan mini dengan dua keputusan seri berturut-turut di liga utama.
Arsenal boleh mengambil kesempatan berikutan kegoyahan Liverpool dengan merapatkan kedudukan kepada empat mata jika mereka menang aksi musuh tetangga London utara, sekalipun pendahulu itu mempunyai kelebihan kerana beraksi kurang satu perlawanan berbanding anak buah Mikel Arteta.
Liverpool mengalami hanya satu kekalahan dalam 20 aksi liga musim ini, kekalahan tunggal mereka hadir menentang Forest di Anfield pada September lalu.
Namun keputusan seri 2-2 dengan Manchester United dan kekalahan 1-0 pada separuh akhir Piala Liga di Tottenham mencetus persoalan mengenai kempen sulung Slot.
Kemenangan besar Piala FA ke atas kelab bawahan Accrington Stanley Sabtu lalu kembali membuktikan kehebatan mereka dan sekalipun Liverpool meninggalkan City Ground tanpa tiga mata, Slot tetap berbangga dengan asakan lewat yang patut menghadirkan kemenangan tetapi dinafikan penjaga gol Forest, Matz Sels.
Catatan mengagumkan enam kemenangan liga berturut-turut Forest menjelang kunjungan Liverpool mencetus dakwaan mereka boleh menyamai pencapaian kisah dongeng Leicester muncul juara pada 2016.
Persembahan memukau ini membuktikan impian itu tidak boleh diperlekehkan sama sekali, walaupun Liverpool tetap menjadi pilihan utama. – AFP