PENGURUS Liverpool, Jurgen Klopp berkata, peluang menjulang trofi Liga Perdana Inggeris di Anfield begitu bermakna kepadanya walaupun terpaksa melakukannya di stadium kosong tanpa kehadiran peminat kerana Covid-19 dan menjelaskan peluang Chelsea untuk layak ke Liga Juara-Juara UEFA.
The Reds berjaya merangkul gelaran pertama liga teratas bola sepak Inggeris dalam tempoh 30 tahun bulan lalu, tetapi harus menunggu sehingga selepas kemenangan 5-3 ke atas Chelsea dalam perlawanan terakhir mereka musim ini di tempat sendiri untuk menjulang trofi Liga Perdana buat pertama kalinya.
Walaupun ada permintaan agar peminat menjauhkan diri dari stadium pada malam di mana Liverpool akhirnya berjaya menjulang trofi, para penyokong mengerumuni stadium walaupun sebelum sepak mula, sementara babak kedua disertai dengan bunyi bunga api yang berterusan oleh para peminat di luar stadium.
Di atas padang, anak buah Klopp memastikan malam yang tidak dapat dilupakan disertai dengan keputusan positif setelah hanya berjaya mnencatat dua kemenangan dalam lima perlawanan sebelumnya sejak mereka merangkul kejuaraan.
Keputusan itu memberi impak yang klebih besar buat Chelsea ketika mereka jatuh ke tangga keempat dan meninggalkan pasukan Frank Lampard yang masih memerlukan satu mata di tempat sendiri menentang Wolves di Stamford Bridge pada hari Ahad untuk mengesahkan tempat dalam Liga Juara-Juara.
“Ini sangat besar, kami tahu situasinya,” kata Lampard.
“Ia kini berada di dalam tangan kami sendiri untuk mendapatkan keputusan menentang pasukan Wolves yang sangat baik.”
Chelsea telah meningkatkan berisan serangan mereka untuk musim depan dengan menandatangani Timo Werner dan Hakim Ziyech, sementara mereka dilaporkan akan mencapai kesepakatan 90 juta euro untuk membawa masuk Kai Havertz dari Bayer Leverkusen.
Liverpool mendahului 3-0 dalam 43 minit pertama menerusi jaringan Naby Keita, Trent Alexander-Arnold dan Georginio Wijnaldum memberikan Chelsea tugas sukar untuk bangkit.
Mereka hampir melakukannya walaupun Roberto Firmino menjaringkan gol liga pertamanya di Anfield sepanjang musim ini yang mengembalikan kelebihan tiga gol Liverpool untuk membatalkan jaringan Olivier Giroud sebelum separuh masa buat pasukan pelawat.
Christian Pulisic secara mengejutkan ditinggalkan di bangku pemain simpanan oleh Lampard sejak mula dan dia mengubah permainan setelah dia dimasukkan bersama Tammy Abraham dan Callum Hudson-Odoi.
Pemain muda dari Amerika itu melepasi empat cabaran pemain Liverpool sebelum melakukan hantraan silang kepada Abraham dan kemudian melepaskan percubaan kencang ke bumbung jaring dengan pertahanan Liverpool berada di seluruh tempat.
Tetapi Liverpool belum selesai apabila serangan balas dari dalam kotak penalti mereka sendiri menyaksikan Liverpool melonjak ke depan dan Alex Oxlade-Chamberlain menyudahkan hantaran Andy Robertson untuk gol kelima pasukan tuan rumah. – AFP