
LONDON: Liverpool berada di ambang kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas Arsenal hanya mampu seri 2-2 menentang Crystal Palace, awal pagi tadi.
Skuad bimbingan Arne Slot menanti dengan penuh debaran sekiranya Arsenal tewas, keputusan yang akan mengesahkan kejuaraan EPL ke-20 Liverpool, menyamai rekod pencapaian Manchester United.
Mereka terpaksa bersabar untuk meraikan kejuaraan lebih awal tetapi Liverpool tampak pasti akan menjulang trofi itu buat kali pertama sejak 2020 selepas jaringan penyamaan lewat oleh Jean-Philippe Mateta untuk Palace di Stadium Emirates.
Liverpool kini mendahului dengan 12 mata di hadapan Arsenal di tempat kedua yang hanya mempunyai empat perlawanan berbaki, selain perbezaan jaringan lebih rendah iaitu 34 berbanding 44 milik Liverpool.
The Reds yang masih berbaki lima perlawanan akan sah menjadi juara jika tidak tewas menentang Tottenham di Anfield pada Ahad sekali gus menyamai jumlah 20 kejuaraan milik seteru utama mereka, Manchester United.
Semuanya cukup meyakinkan buat Liverpool susulan pertembungan kedua-dua pasukan sebelum ini menyaksikan gawang Spurs dibolosi enam gol.
Walaupun tidak menang hujung minggu ini, Liverpool masih mempunyai empat lagi peluang untuk mengesahkan kejuaraan apabila berdepan Chelsea, Arsenal, Brighton dan Crystal Palace. – AFP