LIVERPOOL, England: Sepakan penalti Kylian Mbappe diselamatkan ketika Liverpool menundukkan Real Madrid 2-0 awal pagi tadi untuk mencetus kekalahan ketiga dalam lima perlawanan Liga Juara-Juara buat juara bertahan itu.
Alexis Mac Allister dan Cody Gakpo menyumbat gol pada babak kedua apabila The Reds mengekalkan rekod sempurna untuk kembali merampas tangga teratas daripada Inter Milan.
Mohamed Salah turut menyaksikan sepakan penaltinya tersasar, namun ia tidak begitu menjejaskan ketika Liverpool meraih kemenangan ke-17 dalam 19 perlawanan pertama kendalian Arne Slot.
Slot sudah meraih apa yang gagal dilakukan Jurgen Klopp sebagai bos Liverpool dengan membenam kelab gergasi Sepanyol itu.
Liverpool ada dendam yang perlu dibalas dengan Madrid, yang tidak kalah dalam lapan perlawanan terakhir antara kedua-dua pasukan, termasuk perlawanan akhir Liga Juara-Juara menentang anak buah Klopp pada tahun 2018 dan 2022.
Kekalahan itu menyebabkan pasukan kendalian Carlo Ancelotti merudum ke tangga ke-24 dalam kedudukan liga 36 pasukan.
Hanya 24 pasukan teratas layak ke peringkat kalah mati dengan lapan teratas layak secara automatik ke pusingan 16 terakhir.
Liverpool berada dalam kedudukan terbaik untuk layak dan keyakinan memuncak buat pasukan yang turut mendahului lapan mata di puncak Liga Perdana Inggeris yang terbukti dengan aksi berbisa di depan penyokong Anfield. – AFP