GLASGOW: Jurgen Klopp berkata ‘mood’ baik di sekitar Liverpool sudah meningkat selepas Mohamed Salah masuk dari bangku simpanan untuk mencipta hatrik terpantas dalam sejarah Liga Juara-Juara apabila membelasah Rangers 7-1 di Ibrox awal pagi tadi.
Skuad Reds hanya menang empat daripada 11 perlawanan awal mereka musim ini dan ketinggalan buat kali kelapan dalam kempen kali ini apabila Scott Arfield meledak buat Glasgow pada awal permainan.
Namun Rangers disekolahkan ketika mereka kembali ke Liga Juara-Juara buat pertama kali dalam 12 tahun apabila menyamai catatan rekod kekalahan terbesar di Eropah pada babak kedua.
Gergasi dari Glasgow kekal tanpa sebarang mata dan melepaskan 16 gol dalam empat perlawanan.
“Babak pertama dan setengah jam pertama seperti siang dan malam,” kata pengurus Rangers, Giovanni van Bronckhorst. “Saya tidak boleh menerangkannya.
“Persembahan ini bukanlah cara kami mahu mewakili kelab.”
Dua gol Roberto Firmino pada kedua-dua babak menukar perlawanan sebelum pemain Brazil itu mengumpan buat Darwin Nunez seterusnya membunuh terus perlawanan.
Klopp meletakkan Salah, Thiago Alcantara dan Diogo Jota di bangku simpanan bagi menghadapi pertemuan dengan Manchester City dalam Liga Perdana Ahad ini.
Namun mereka dibawa masuk pada suku keempat dan Salah tidak melepaskan peluang memusnahkan pertahanan lemah Rangers.
Tiga gol penyerang Mesir itu hadir hanya dalam tempoh enam minit 12 saat untuk mengatasi rekod lama dipegang Bafetimbi Gomis ketika Lyon menang 7-1 mengatasi Dinamo Zagreb pada 2011.
Ia memang mengubah perasaan, dan ia bagus,” kata Klopp. “Kita semua tahu apa yang akan berlaku pada Ahad. Ia akan menjadikan ia berbeza, tapi lebih baik ia berlaku dengan perasaan seperti malam ini.
“Apabila kami bermain dengan potensi penuh kami, kami adalah pasukan bola sepak yang bagus. Itulah yang kami tunjukkan malam ini.”
Harvey Elliott melengkapkan senarai penjaring pada malam mengecewakan buat Rangers yang hanya sebulan lalu mara ke final Liga Europa.
Keputusan seri di Amsterdam sudah cukup buat Liverpool untuk mara ke kelompok 16 terakhir apabila mereka berdepan Ajax dalam tempoh dua minggu. – AFP