KUCHING, 11 Oktober: Kelab-kelab Lions di Kuching menyasarkan saringan pendengaran terhadap 1,000 kanak-kanak prasekolah, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman, sebagai usaha mengesan masalah pendengaran pada peringkat awal.
Presiden Kelab Lions Kuching Lavender (Lions Club of Kuching Lavender), Connie Tan berkata, pengesanan awal penting bagi memastikan kanak-kanak yang mengalami masalah pendengaran mendapat bantuan sewajarnya untuk menyokong perkembangan pertuturan dan pembelajaran mereka.
Katanya, usaha itu turut bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan ibu bapa, guru dan masyarakat mengenai kepentingan penjagaan pendengaran serta intervensi awal kanak-kanak.
“Projek ini bertujuan meningkatkan kualiti hidup kanak-kanak yang mengalami masalah pendengaran melalui akses kepada alat bantu pendengaran yang sesuai, selesa dan berkesan.
“Pada masa sama, kita mahu memastikan ibu bapa dan guru lebih peka terhadap tanda-tanda masalah pendengaran supaya tindakan sewajarnya dapat diambil lebih awal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengetuai program saringan pendengaran di Tadika Krista Lumba Kuda di sini.
Connie berkata, projek berkenaan dimulakan pada November 2025 dan dilaksanakan oleh kelab-kelab Lions di Kuching, Wilayah 1, menerusi Kelab Lions Kuching Kota Samarahan (LCKKS), dengan kerjasama Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Sarawak Hear dan hospital kerajaan.

Menurutnya, inisiatif itu akan memberi tumpuan kepada kanak-kanak prasekolah, terutama mereka yang berada di kawasan luar bandar dan pedalaman yang mungkin berdepan kekangan mendapatkan akses kepada perkhidmatan saringan pendengaran.
Katanya, pengesanan masalah pendengaran pada usia awal membolehkan intervensi dilakukan dengan lebih cepat, sekali gus membantu perkembangan komunikasi dan pembelajaran kanak-kanak.
Connie yang juga Pengerusi Penganjur Projek Saringan Alat Bantu Pendengaran Kanak-kanak turut merakamkan penghargaan kepada Presiden LCKKS dan pengasas projek Hearing You, Richard Yeo, atas sokongan dalam menjayakan inisiatif berkenaan.
Beliau turut menghargai kerjasama pihak pengurusan tadika, guru-guru serta ahli Lions yang membantu melancarkan pelaksanaan program saringan.
Berpandukan cogan kata Lions, “Kami Berkhidmat” (We Serve), Connie berkata, pihaknya berharap inisiatif berkenaan dapat diperluaskan ke seluruh Sarawak bagi memastikan lebih ramai kanak-kanak mendapat akses kepada perkhidmatan saringan dan penjagaan kesihatan pendengaran.
Katanya, Kelab Lions Kuching Lavender akan terus komited melaksanakan inisiatif kemanusiaan yang memberi tumpuan kepada kesihatan, intervensi awal dan kesejahteraan kanak-kanak, wanita serta keluarga.
Oleh Shikin Mahmud




