Lima maut, pesawat kargo Amazon terbabas dari landasan di Lapangan Terbang Miami

Facebook
WhatsApp
SEBUAH pesawat kargo Amazon terhempas di Lapangan Terbang Antarabangsa Miami di Miami, Florida. Foto AFP

ISTANBUL: Sekurang-kurangnya lima maut manakala lima lagi cedera selepas sebuah pesawat kargo Amazon terbabas dari landasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Miami, Florida, Amerika Syarikat (AS), lapor Anadolu Ajansi memetik seorang pegawai tempatan.

“Awal hari ini, kami dimaklumkan bahawa Penerbangan 7598 milik 21 Air terbabas dari landasan dan kini kami mengetahui lima orang terkorban manakala lima lagi cedera,” kata Datuk Bandar Miami-Dade County Daniella Levine Cava.

“Ingatan dan simpati saya bersama semua keluarga yang terjejas,” katanya.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Miami-Dade Ray Jadallah berkata keseluruhan 10 orang terbabit dalam kejadian itu, dengan tiga daripada mangsa cedera berada dalam keadaan kritikal dan dibawa ke pusat trauma, manakala dua lagi dihantar ke hospital tempatan.

Menurut Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), pesawat kargo Boeing 767-300 itu terbabas dari landasan selepas mendarat kira-kira 2.00 petang waktu tempatan (1800 GMT).

Pesawat yang berlepas dari San Juan, Puerto Rico itu merempuh beberapa kenderaan sebelum terbakar, menyebabkan lebih 60 unit bomba dan penyelamat dikerahkan ke lokasi kejadian.

FAA memaklumkan pihaknya akan menyiasat kejadian itu, manakala Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) berkata ia sedang mengumpul maklumat mengenai nahas berkenaan. – Bernama

Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS pagi ini, disokong oleh jangkaan kemungkinan kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) berikutan