KUCHING: Lima kenderaan iaitu tiga bas dan masing-masing sebuah kereta dan motosikal musnah dalam kebakaran di sebuah bengkel di Kampung Batu Kitang Lot, Jalan Kuching-Bau, di sini, hari ini.
Jurucakap Pasukan Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak menerusi satu kenyataan berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 3.52 petang.
”Bertindak atas laporan, seramai 19 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang dan Tabuan jaya dibantu sebuah jentera bomba (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.
”Kebakaran melibatkan tiga buah bas yang berada di bengkel bas yang telah terbakar 100 peratus dan sebuah kereta telah terbakar 20 peratus manakala sebuah motosikal terbakar 30 peratus,” katanya dalam kenyataan itu, hari ini.
Menjelas lanjut, katanya pekerja turut berusaha memadam kebakaran menggunakan dua unit alat pemadam api, namun tidak berjaya kerana api marak dengan cepat.
Beliau berkata, insiden tersebut tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa manakala punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 5.13 petang setelah Pasukan Keluaran Operasi memastikan keadaan kembali selamat.