SEMUA ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) di seluruh bahagian diminta untuk menangguhkan dahulu semua penganjuran saingan liga tempatan di kawasan masing-masing sehingga diberitahu.
Menurut Presiden FAS, Datuk Posa Majais ia disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dikuatkuasakan dan situasi masa sekarang masih belum selamat sepenuhnya.
Jelas Posa, pihaknya terpaksa melakukan tindakan tersebut mengambil kira kepentingan kesihatan serta keselamatan semua pihak.
“Ia juga termasuk di kawasan yang kurang terjejas akibat pandemik Covid-19. Ia bukan sahaja bagi mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang lebih ketat, tetapi demi keselamatan dan kesihatan semua pihak.
“Buat masa ini, saya sarankan kepada semua ahli gabungan di seluruh bahagian negeri ini untuk menangguhkan dahulu penganjuran liga sekiranya situasi masih belum selamat sepenuhnya.
“Keselamatan serta keutamaan kesihatan semua pihak antara yang dititikberatkan dalam keadaan situasi yang melanda negara dan seluruh dunia ketika ini,” ujar beliau.
Beliau berkata, hanya senaman individu seperti joging dibenarkan dan tidak membuat latihan secara berpasukan terutamanya penggunaan padang bola sepak.
“Kita amat mengambil serius perkara tersebut. Kita tidak tahu sampai bila liga akan ditangguhkan, segalanya bergantung kepada keadaan dan situasi semasa Covid-19,” ujarnya.
Beliau turut mengharapkan semua ahli gabungan memahami keadaan pada masa sekarang, dan menasihatkan untuk terus mematuhi SOP yang ditetapkan oleh kerajaan.
Sementara itu, Kejohanan Liga Bola Sepak SSC/FAS yang telahpun menamatkan saingan bagi pusingan pertama pada April lalu turut ditangguhkan ke suatu tarikh lain sehingga diberitahu.
Pertandingan tersebut turut melibatkan semua pasukan bahagian kecuali Limbang dan Betong yang telah menarik diri, dan turut disertai oleh pasukan Sarawak United FC II dan Kuching City FC Junior.