
NAMAKU Libau, seekor kenyalang dari hutan hujan Borneo, pewaris langit dan pewaris rimba hijau. Semenjak aku belajar mengepakkan sayap, dunia sudah mula berubah.
Dahulu langit kami kebiruan segar, hutan di bawahnya tebal, harum dan penuh gema nyanyian serangga hutan.
Daun-daunnya bercerita indah dan akar-akarnya menyimpan rahsia. Tapi kini, kabus hitam semakin menutupi langit dan pohon-pohon rebah umpama pejuang yang dilupakan sejarah silam.
Setiap pagi aku akan terbang dari sarangku ke pokok tualang tua, pokok keramat tempat ibuku bertelur. Dari atasnya, aku melihat luka-luka merah bumi, lorong-lorong lumpur hasil tayar lori balak, sungai yang berkilauan dulunya kini bertukar pekat dan lubang-lubang menjadi besar di perut tanah tempat pohon-pohon besar pernah berdiri.
Dahulu, aku selalu menemani burung-burung rimba menyanyi. Kini, suara mereka semakin berkurangan. Sebahagian sudah meninggalkanku jauh, mencari hutan yang belum disentuh. Sebahagian lain, tidak pernah kembali dan tidak akan kembali.
“Wahai langit,” bisikku setiap pagi, apabila menanti pagi. “Adakah kami sudah dilupakan?”
Angin tidak menjawab. Ia membawa bau asap, bau besi dan bunyi laungan mesin yang mengusik gegendang telingaku ibarat raksasa lapar.
Aku terbang rendah, menyusuri ruang udara yang semakin sempit, lalu hinggap di dahan mati. Di bawah sana, seekor monyet tua duduk memeluk lututnya, matanya sayu menatap tanah gersang.
“Libau,” katanya, “Adakah kau masih terbang?”
“Selagi ada langit, selagi itu aku akan terbang,” jawabku perlahan.
Monyet itu ketawa kosong. “Langit pun sudah luka, sahabat. Burung-burung pun akan jatuh apabila angin menjadi asap racun.”
Aku diam. Apa yang harusku balas? Kata-katanya benar. Tapi dalam hatiku, hidup mesti diteruskan. Syukur aku masih terbang, walau sayapku semakin penat mengepak menentang arah.
Langit pagi diselubungi kabus yang menyengat mata. Aku terbang rendah di atas lembah yang dahulunya dihuni sekawanan rusa. Tapi hari ini, tanah itu berlubang dan bertakung dengan cecair kehitaman yang berkilat bagaikan racun. Minyak hitam. Luka yang manusia tinggalkan, tanpa memandang ke arah masa depan.
Ketika aku sedang terbang di udara, kedengaran suara halus menembusi kabus.
“Tolong… tolong…”
Aku turun mengepak sayap perlahan ke arah suara itu. Di tengah lopak hitam, seekor anak rusa terperangkap. Tanduknya belum tumbuh, kakinya tenggelam hingga ke lutut dalam lumpur likat. Dia cuba melompat, tapi hanya tenggelam lebih dalam. Nafasnya tercungap-cungap.
Aku hinggap pada tunggul batu berhampiran. “Jangan bergerak. Aku akan mencari bantuan untuk menyelamatkan kau,” kataku.
Matanya berkaca. “Jangan pergi…”
“Percayalah. Aku akan kembali.”
Aku terbang ke arah timur, menuju ke celah-celah pokok balak yang masih berdiri. Di situ tinggal Si Musang yang licik dan tangkas. Dia sedang mengunyah sisa buah ketika aku di sana.
“Musang! Seekor anak rusa terperangkap. Kita perlu menolongnya.”
Si Musang mengangkat keningnya. “Di mana?”
“Di Lembah Hitam. Lopak minyak.”
Musang menghentikan kunyahannya. “Minyak? Tidak, Libau. Aku tidak mahu menjadi mangsa racun manusia. Kau mesti tak tahu apa yang berlaku pada Landak minggu lepas.”
“Tapi dia akan mati!”
Musang menjilat bibirnya. “Lebih baik satu mati daripada kita semua mati.”
Aku terdiam. Dia bukan pengecutnya, tetapi dia hanya terlalu biasa melihat kematian.
Aku terbang lagi ke arah hutan paling bawah. Di situ tinggallah Sang Kura-Kura, yang pergerakannya lambat tetapi sebenarnya bijak. Dia sedang duduk di tepi akar besar, memerhati jejak gajah yang semakin jarang kelihatan.
“Sang Kura-Kura, kami perlukan bantuanmu bagi menyelamatkan rusa.”
Kura-kura menoleh perlahan. “Hmmm. Aku sudah tua, Libau. Kaki ku tak sepantas dulu. Bahkan manusia pun tak mengendahkan aku lagi.”
“Tapi jika kita tak buat apa-apa… nanti…”
“Pernahkah mereka menolong aku apabila pokok tumbang? Pernahkah mereka menolong aku apabila sungai disumbat? Kami semua bagaikan halimunan hutan. Hidupan yang menunggu masa lenyap dari muka bumi.”
Aku menunduk. Aku tahu dia amat kecewa. Tapi kecewa bukan alasan untuk berdiam diri.
Aku terbang dari satu sudut hutan ke satu sudut hutan. Haiwan-haiwan lain seperti badak sumbu, sang beruk tua dan ular sawa memberikan alasan yang sama. Mereka sangat ketakutan, keletihan dan putus harapan.
“Libau,” kata Beruk, “Rupanya kau masih percaya pada pertolongan lain? Aku hanya percaya kepada nasib. Dan nasib sentiasa tidak pernah menyebelahi kita.”
Aku kembali ke Lembah Hitam dengan dada yang berat. Anak rusa itu masih di sana. Nafasnya semakin pendek. Matanya sudah layu. Seekor rama-rama terbang hinggap di hujung hidungnya.
“Aku… aku tunggu… tapi tiada siapa yang datang menolongku…” suaranya hampir hilang.
Aku menggenggam dahan dengan kuku. Marah. Bukan pada haiwan lain. Tapi marah pada dunia yang membenarkan perkara ini berlaku. Aku marah kepada manusia yang menumpahkan racun di hutan. Aku marah juga kepada diriku sendiri kerana aku tidak cukup kuat untuk menyelamatkan anak rusa itu.
Angin bertiup. Hening. Seolah-olah hutan turut berdukacita dengan tragedi ini.
Aku terbang menuju ke dahan pokok tualang tua dan merenung langit senja. Aku perlukan lebih daripada sekadar sayap. Aku perlukan kuasa yang pernah dimiliki oleh nenek moyangku dahulu. Burung kenyalang dahulu bukan sekadar penghuni langit tetapi mereka penjaga dunia sebenarnya.
Pada malam itu, aku menyeru kepada bintang-bintang berkelipan di langit.
“Roh langit, dengarkanlah. Jika benar aku waris penjaga rimba, pinjamkan padaku kekuatanmu. Agar aku tidak hanya memerhati, tetapi aku mampu bertindak.”
Malam melabuhkan tirainya perlahan-lahan, membalut hutan dengan sunyi yang tebal. Bintang-bintang menyala suram di celah hutan tua, ibarat mata-mata dari roh purba yang memerhatikan dari jauh.
Aku bertenggek pada dahan tertinggi Pokok Tualang Tua, pokok tertua di kawasan ini, yang dipercayai bangsa Dayak sebagai pintu langit, tempat roh nenek moyang singgah pada perjalanan ke langit.
Dahulu, manusia akan meletakkan persembahan di bawahnya seperti manik, sirih, beras kuning. Tetapi kini yang tinggal, hanya aku dan angin.
Sayapku terasa berat. Dadaku sesak dengan perasaan kecewa dan kesunyian. Di bawah sana, anak rusa itu mungkin sudah tiada harapan. Aku hanyalah seekor burung. Apalah sangat yang seekor burung kenyalang mampu selamatkan walaupun kekejaman dunia melanda kini?
Mataku terpejam dalam keadaan letih yang panjang. Tapi malam itu, mimpi datang daripada cahaya kabus malam. Pada mimpi itu, aku berada di langit luas yang tiada penghujungnya.
Di hadapanku muncul seekor kenyalang putih bersayap emas, paruhnya panjang dan matanya berkilau bagaikan batu hikmat. Sayapnya terbentang luas melangkaui langit dan bumi.
“Akulah Penjaga Langit, penjaga zaman kita yang semakin dilupakan,” suaranya berdengung ibarat bunyi gong Iban.
Aku tunduk. Fikiranku panjang. “Adakah aku telah gagal sebagai penjaga waris Bumi masa kini?”
Burung kenyalang putih itu memandangku lama.
“Kau belum gagal. Kau hanya belum memilih untuk menjadi pahlawan. Warisan tidak akan hidup tanpa keberanian.”
“Tapi mereka semuanya takut. Mereka tidak boleh dipercayai lagi. Mereka mahu menyelamatkan diri sendiri.”
“Tetapi kau?” tanyanya kepadaku.
Aku terdiam. Mimpi tersebut membawa angin berbau hutan terbakar. “Aku mahu melindungi hutan ini. Aku tidak mahu melihatnya mati begitu sahaja.”
Burung kenyalang putih itu melayang berdekatan aku. Sayapnya menyentuh kepalaku.
“Wahai penjaga langit, dengarlah sini baik-baik. Sayapmu bukan hanya untuk terbang, suaramu bukan juga untuk bernyanyi. Kau harus menjadi ribut pada sunyi dan jadilah cahaya pada kegelapan.”
Cahaya menyelubungi tubuhku. Aku merasakan dadaku panas, buluku bergetar dan muncul kekuatan aneh bangkit pada diriku. Situasi itu bukannya sihir, bukan juga mantera, bukan juga jampi, akan tetapi kesedaran silam yang menggamit diriku.
Aku sedar aku bukan hanyalah seekor burung kenyalang tetapi wira yang harus dihargai selamanya.
Aku terjaga dari mimpi menjelang fajar. Kabus masih tebal, tapi kini terasa ada sesuatu yang berbeza pada diriku. Bulu pada dadaku dan sayapku kelihatan berkilau emas apabila disentuh cahaya matahari pagi.
Aku mengembangkan sayapku. Aku sudah tahu ke mana tujuan asalku. Hari ini, aku tidak akan memerhatikan sahaja. Namun aku akan bertindak menyelamatkan anak rusa.
Akulah Libau, burung kenyalang terakhir yang lahir di bawah Pokok Tualang Tua ini. Akulah generasi terakhir. Aku terbang menuruni Lembah Hitam dan menyusuri angin yang lesu.
Di dalam hutan rimba, lorong pembalakan semakin giat berjalan ibarat luka yang tidak boleh disembuhkan lagi. Jentera berantai mengaum bagaikan raksasa logam. Pohon-pohon tumbang satu demi satu. Bunyi-bunyinya ibarat bumi meraung kuat setiap kali akarnya dicabut.
Aku tidak mahu menunggu lagi. Aku mula mengepakkan sayapku. Mataku tajam menjejaki pokok tua yang masih tegak, tempat sarang tebuan bersarang. Dengan gerakan pantas, aku menyambar dahan kecil yang menyentuh sarang itu. Aku menggoncangnya dengan sekuat tenagaku.
WUUZZ!
Tebuan keluar seperti pusaran amarah langit.
Aku menghala ke arah jentera. Tebuan mengekoriku dari belakang. Namun begitu, tebuan seakan tertarik kepada bunyi dan bau peluh manusia. Tidak lama selepas itu, beberapa orang pekerja menjerit meminta tolong dan kemudian, melompat turun dari mesin, Ada juga pekerja yang melarikan diri sambil mengibas-ngibas tubuhnya.
“Sialan kau burung!” jerit salah seorang pekerja di situ.
Aku kembali semula ke langit. Kataku, ini baru permulaan. Kemudian, aku hinggap di atas jentera yang ada di situ. Aku memanggil rakan-rakan haiwan hutan yang lain tetapi bukan dengan bahasa manusia, tetapi dengan suara langit silam. Suara burung kenyalang yang telah pupus dari rimba.
“WAUUKK… WAUUKK… WAAAOOOKKKK!”
Suaraku benar-benar memecah kesunyian hutan rimba itu. Gema suaraku menyentuh akar pokok, menggugah semangat haiwan yang kesepian terlalu lama. Sang Kura-Kura datang perlahan membawa angkatannya.
Di belakangnya, beberapa ekor badak sumbu mendengus dan menghentak tanah. Beruk bergayut dari dahan ke dahan pohon sambil mengangkat batu kecil. Si Musang muncul dari sebalik semak dan mula mendekati kawasan pembalak dengan mata tajam.
Si Landak juga yang dahulunya pernah terluka muncul dengan tubuh berparut dan sisiknya tegak bersedia.
Hutan seakan-akan memanggil kembali haiwan untuk bangkit semula. Landak menusuk tayar jentera dengan durinya dan beruk pula melontar buah busuk dan tanah ke arah pekerja di sana.
Musang ditugaskan untuk mengelirukan anjing pemburu dan badak sumbu menggali lubang di tengah laluan lori.
Aku sendiri terbang tinggi lalu menjatuhkan biji benih tualang dari sarangku. Serangan ini tanda bahawa haiwan di hutan rimba ini masih belum lagi menyerah kalah.
Pekerja di sana terpinga-pinga dengan keadaan itu.
“Apa semua ni? Burung kenyalang itu sudah gila!”
“Mereka merancang ini! Haiwan hutan ini… mereka bekerjasama!”
Sebahagian pekerja cuba bertahan, tapi semangat mereka runtuh apabila melihat haiwan yang semakin banyak melawan mereka.
Di langit yang luas, aku berpusing dengan sayapku yang bersinar dengan cahaya matahari pagi. Aku menjerit sekali lagi dengan suara yang sudah lama tidak didengari di rimba.
“Ini tanah kami!”
“Ini hutan kami!”
“Pulanglah ke tempat asalmu, manusia!”
Mesin-mesin ditinggalkan sepi. Kabin pekerja kosong. Semua pekerja berundur ke hujung jalan balak untuk menyelamatkan diri.
Kami, haiwan di hutan rimba tidak boleh dianggap lemah. Kemenangan sejati ini milik kami.
Tidak lama selepas itu, aku hinggap semula di tunggul batu berhampiran anak rusa, yang kini sudah separuh bebas dari lumpur. Semua itu hasil usaha dan kerja keras kura-kura dan badak sumbu yang mengorek tanah di sekelilingnya.
“Sudah selesai?” tanya rusa dengan nada suara lemah.
Aku mengganguk perlahan. “Belum. Tapi hari ini, kita sudah menang.”
Dia tersenyum kecil, lalu rebah pada pelukan ibunya.
Langit merah jingga apabila matahari turun perlahan-lahan turun ke ufuk barat.
Hutan yang sebentar tadi riuh dengan jeritan dan pekikan haiwan kini sunyi semula. Tetapi bukan sunyi yang mati. Akhirnya, hutan itu kembali bernafas semula.
Anak rusa itu dibaringkan di sisi ibunya yang baru tiba dari hutan dalam. Matanya masih berkaca. Tubuhnya lemah dan degupan jantungnya semakin stabil. Sang Kura-Kura mendekatinya. Daun herba diletakkan pada mulutnya.
“Ini untuk merawat lukamu,” kata Sang Kura-Kura. “Kunyah perlahan.”
Rusa mengunyah herba itu perlahan.
Seketika, semua haiwan hutan seperti beruk, badak sumbu, landak, musang dan aku masih di dahan pohon masih berkumpul untuk memberikan sokongan moral di sisi mereka.
Tiada siapa bercakap. Tiada siapa menyanyi lagi. Tapi kehadiran kami cukup untuk bersama semula. Kami belum menyerah lagi.
Keesokan harinya, kami berhasrat menghidupkan semula hutan rimba ini. Aku terbang dari sebuah kawasan hutan ke sebuah kawasan hutan.
Tugasku menyebarkan biji benih pokok tualang, engkabang, dan kapur yang telah aku simpan sejak bertahun lalu di sarang di pokok tinggi. Beruk dan musang menggali lubang-lubang kecil pada tanah dengan harapan biji benih hidup dengan subur.
Kura-kura menandakan tempat-tempat strategik dengan lumpur, salah satu tradisi lama yang masih diingatinya semasa zaman nenek moyang dulu.
Kami bukan lagi haiwan rimba yang terasing. Kamilah penjaga hutan yang harus memelihara hutan rimba ini.
Beberapa minggu kemudian, aku melihat manusia kembali ke dalam hutan rimba ini. Kali ini ,mereka bukan datang dengan senapang tetapi dengan kamera dan buku nota. Mereka melihat jentera rosak yang ditinggalkan. Mereka mengambil gambar tapak kaki badak sumbu dan bekas tapak kura-kura.
“Perkara ini luar biasa…” kata salah seorang daripada mereka.
“Kawasan ini kembali hidup semula.”
Walaupun begitu, kami tahu segalanya tentang mereka. Kami berjanji akan tetap menjaga hutan ini.
Pada malam keempat, aku hinggap semula di Pokok Tualang Tua. Di bawah sinar bulan, anak rusa itu berdiri di bawah dan memandang ke arahku.
“Libau,” katanya. “Kenapa kau kembali ke sini pada setiap malam?”
Aku tersenyum dari atas. “Langit ini masih belum bersih sepenuhnya. Seseorang harus terus menyanyi untuknya.”
Anak rusa itu diam sejenak, lalu menjawab, “Bolehkah aku menyanyi bersamamu pada suatu hari nanti?”
Aku mengangguk.
Dan kami berdua pun senyap semula.
Dalam senyap itu, hutan kembali bernafas semula.
Aku ingin terbang lagi. Setiap pagi, sebelum cahaya menyentuh pucuk daun, aku menyusuri langit hutan yang perlahan-lahan sembuh. Daun-daun muda mula tumbuh di celah dahan mati.
Sungai yang dahulu suram kini kembali bersinar semula, walaupun belum sepenuhnya jernih. Aroma getah dan tanah basah mengisi hati hutan.
Di bawah hutan sana, anak rusa yang pernah aku selamatkan dulu kini berlari bebas bersama ibunya. Burung-burung kecil menyanyi semula. Tebuan kembali ke sarangnya tanpa sebarang gangguan.
Pokok-pokok mula berbicara dalam bahasa akar, bahasa yang hanya didengari oleh mereka yang sunyi.
Aku, Libau, bukan lagi burung biasa.
Aku bukan hanya pewaris langit, aku memang penjaga bumi Boneo ini.
Sesekali, manusia masih datang. Ada yang hanya meninjau hutan. Ada yang menanam hutan. Ada juga yang duduk di pangkal pokok, termenung, seolah-olah ingin memahami apa yang pernah mereka musnahkan dulu.
Aku tidak pernah membenci mereka. Tidak semua manusia datang membawa maut. Tetapi ada juga membawa maaf. Aku tahu hutan ini tahu memaafkan, jika mereka datang dengan hati yang terbuka.
Menjelang senja, aku terbang ke arah Pokok Tualang Tua. Dari situ, aku melihat seluruh hutan yang dahulu musnah, kini beransur pulih. Aku bernyanyi semula. Lagu lama. Lagu burung kenyalang Borneo yang tak akan hilang.
Waauukkk… waaaoookkk… wuuukk…
Dengarlah,
wahai bumi dan langit…
Kami belum pupus.
Kami belum mati.
Kami masih di hutan ini
Dan selama ada sayap dan langit, kami akan terus terbang.
Jika suatu hari nanti aku tiada, aku berharap suara ini kekal bergema di antara langit dan hutan ini. Manusia harus tahu burung kenyalang masih wujud di bumi indah ini.
Burung kenyalang yang terbang, melawan, dan akhirnya menang… dengan sayap sakti yang lahir dari harapan bumi.
Oleh Benjamin Asin