KUCHING: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Malaysia, Cawangan Sarawak bakal anjur program pendedahan sukarela khas bermula 1 Jun ini hingga 31 Mei 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Mohd Nizom Sairi berkata, program ini bertujuan membantu pembayar cukai berdepan penalti sifar peratus dan membolehkan mereka mengisytiharkan cukai pendapatan secara sukarela, yang sebelum ini kemungkinan tersasar atau tidak dilaporkan.
“Program ini memberi peluang kepada mana-mana pembayar cukai yang terlepas melaporkan pendapatan mereka atau kurang melaporkannya, atau sama ada terdapat kesilapan dan sebagainya, untuk datang secara sukarela dalam tempoh setahun ini dan melaporkan cukai untuk beberapa tahun kebelakangan ini.
“LHDN akan menerima apa yang dilaporkan dan tahun-tahun mereka melaporkan secara sukarela tidak akan diaudit lagi. Kami akan menganggap pengisytiharan cukai sebagai muktamad atau ditutup,” katanya kepada media selepas Majlis Penghargaan Media Sarawak 2023 bersama LHDN di salah sebuah hotel di Kuching, malam tadi.
Katanya lagi, mereka yang ingin mengisytiharkan cukai pendapatan secara sukarela boleh menghubungi atau tampil ke mana-mana pejabat cawangan LHDN.
Menurutnya, dalam pembentangan Belanjawan 2023 lalu, Kerajaan telah memperkenalkan Program Pengakuan Sukarela sebagai usaha murni kerajaan dalam membantu meringankan beban rakyat.
Sehubungan itu, beliau berharap media akan berterusan menyokong HASiL dengan memberikan liputan dan publisiti meluas berhubung program ini sejajar dengan usaha HASiL menyokong inisiatif kerajaan untuk mensejahterakan rakyat dan meningkatkan kadar pematuhan cukai secara sukarela.
Ujarnya, tanpa sokongan dan publisiti berterusan rakan-rakan media, sudah tentu maklumat-maklumat penting ini tidak akan sampai ke pengetahuan masyarakat umum.
Katanya lagi, tidak dinafikan bahawa hubungan yang sihat dan mesra di antara HASiL dan media membawa kepada situasi menang-menang dan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
Oleh NUR AIN OTSMAN