ROM: Operasi lapangan terbang Catania di pulau Sicily, Itali sekali lagi dihentikan susulan letusan terbaharu Gunung Etna ketika musim percutian, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
Tiada ketibaan atau pelepasan dijadualkan sehingga 2.00 pagi (0000 GMT) pada Sabtu, menurut pengendali lapangan terbang itu lewat Khamis.
Pelancong dinasihatkan supaya tidak pergi ke lapangan terbang tanpa menyemak terlebih dahulu status penerbangan mereka dengan syarikat penerbangan.
Pada Khamis, pengendali lapangan terbang Società Aeroporto Catania (SAC) telah melanjutkan larangan ketibaan sehingga 8.00 pagi Jumaat.
Operasi bergantung pada aktiviti gunung berapi serta arah angin dan kepekatan abu di udara.
Ratusan penerbangan telah dibatalkan, ditangguhkan atau diubah sejak letusan bermula seminggu lepas.
Menurut SAC, impak ke atas infrastruktur lapangan terbang itu adalah yang paling teruk dalam tempoh 20 tahun. – Bernama




