BINTULU: Warga Bintulu pagi tadi dikejutkan dengan letupan yang membimbangkan di sebuah kilang di Taman Perindustrian Samalaju di sini.
Dalam kejadian menjelang tengah malam tadi, sebuah kilang di Taman Perindustrian Samalaju di sini terbakar dan menurut bomba, ia dipercayai akibat kebocoran molten alumnium menjelang tengah malam tadi.
Malah berlaku letupan kecil sekitar jam 11.50 malam itu, berikutan molten alumnium dikatakan tidak dapat bertindak balas dengan air, yang turut dipengaruhi oleh keadaan cuaca hujan lebat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, video kejadian yang tular di media sosial menimbulkan persoalan mengenai keselamatan awam.
Oleh itu, beliau menggesa ketelusan daripada pihak berkaitan terutamanya dalam insiden serius sedemikian kerana rakyat berhak mengetahui tentang kejadian yang melibatkan keselamatan mereka.
Menurutnya, isu keselamatan melibatkan bukan hanya pekerja di kilang tetapi juga orang awam di kawasan Bintulu.
“Pagi ini, saya menerima banyak maklum balas hanya melalui video, tanpa sebarang kenyataan rasmi daripada mana-mana agensi atau kilang itu sendiri.
“Tiada kenyataan yang dikeluarkan, mereka tidak memberikan maklumat.
“Oleh itu, saya berpendapat bahawa pihak pengurusan tertinggi kilang perlu tampil memberikan penjelasan kepada orang ramai mengenai keselamatan, kerana mereka bertanya kepada saya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Khidmat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Bintulu di sini, hari ini.
Johnny Pang menekankan perlunya komunikasi yang jelas dan ketelusan daripada pihak berkuasa yang berkaitan, bagi memastikan keselamatan penduduk Bintulu diutamakan.
Selain isu ketelusan, letupan kilang di Samalaju juga membuka persoalan besar tentang kesiapsiagaan keselamatan di Bintulu.
Beliau menzahirkan kebimbangannya mengenai sama ada terdapat protokol kecemasan yang mencukupi bagi menghadapi situasi seperti ini.
“Saya melihat satu kenyataan yang meminta kerajaan negeri mengambil tindakan segera, tetapi ini adalah perkara persekutuan.
“Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) berada di bawah persekutuan, dan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) juga berada di bawah persekutuan.
“Saya harap pihak berkuasa, termasuk kementerian yang berkaitan, turun ke kilang pelabur eksklusif di Bintulu dan memastikan prosedur operasi standard (SOP) dan petunjuk prestasi utama (KPI) dipatuhi dengan ketat,” jelasnya.
Beliau menggesa pihak berkuasa untuk segera menilai semula langkah-langkah keselamatan di kawasan perindustrian Samalaju, serta memastikan protokol kecemasan disampaikan dengan jelas kepada penduduk.
Baru-baru ini, sebuah kilang di Taman Perindustrian Samalaju di sini turut terbakar hingga mengorbankan nyawa.